[VIDEO] JIPS siasat kes pegawai polis wanita buat 'live' masa serbuan

Seorang pegawai polis wanita yang membuat rakaman video secara langsung menerusi akaun sosial aplikasi TikTok semasa serbuan di sebuah pusat hiburan.
Seorang pegawai polis wanita yang membuat rakaman video secara langsung menerusi akaun sosial aplikasi TikTok semasa serbuan di sebuah pusat hiburan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain telah mengarahkan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) menyiasat video tular berkaitan seorang pegawai polis wanita yang membuat rakaman video secara langsung menerusi akaun sosial aplikasi TikTok, semasa serbuan di sebuah pusat hiburan.

Razarudin berkata, pihaknya sedang meneliti bila dan di mana rakaman video secara langsung itu dibuat.

"Saya sudah mengarahkan JIPS untuk ambil tindakan terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataannya berhubung tindakan membuat video secara langsung semasa operasi itu.

"Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok miliknya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan oleh JIPS.

"Pihak JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mengumpulkan pengikut laman sosial akaun TikTok miliknya," katanya.

Dalam video berdurasi satu minit 38 saat itu wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat Asisten Superintendan (ASP) menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

Pada pertengahan video, dia menyatakan rasa terkejut kerana video berkenaan ditonton secara langsung oleh lebih 1,400 pengikut selain turut mengharapkan akaun TikTok miliknya diikuti oleh lebih 100,000 pengikut lain.

Artikel Berkaitan:

Tindakannya membuat video secara langsung itu didapati mengundang kecaman masyarakat kerana didakwa mengambil peluang ketika operasi dalam mempromosikan akaun TikTok miliknya.

Pada Ogos 2020, PDRM pernah mengeluarkan arahan melarang pegawai kanan dan pegawai rendahnya memuat naik perkongsian peribadi semasa berpakaian seragam di platform media sosial.

Dalam larangan berkenaan, Bukit Aman memandang serius tindakan pegawai dan anggotanya merakam, memuat naik video tarian dan lain-lain aksi semasa berpakaian seragam menerusi platform media sosial seperti Youtube, Whatsapp, TikTok dan aplikasi lain bagi tujuan untuk menarik perhatian dan mendapat tontonan yang tinggi oleh masyarakat dan netizen.

Dalam perkara sama, tujuan larangan itu dikeluarkan adalah bagi mengelak isu persepsi negatif dan mengundang pelbagai kritikan yang boleh menjatuhkan imej PDRM.