Isu buruh paksa: Saravanan sahut cabaran debat Ramasamy

Tangkap layar hantaran Facebook Saravanan pada Ahad
Tangkap layar hantaran Facebook Saravanan pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menyahut cabaran perdebatan dengan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy berhubung isu buruh paksa.

Saravanan berkata, beliau menerima cabaran tersebut untuk memberi penjelasan dalam spektrum yang lebih luas berhubung tuduhan tersebut.

“Profesor Dr Ramasamy pada mulanya telah mengkritik permintaan saya kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Amerika Syarikat (AS) mengenai amalan buruh paksa di negara ini dan menyalahkan saya kerana mengambil jalan mudah berhubung perkara itu.

“Apabila saya menjawab saya tidak mengambil jalan mudah mengenai perkara itu, dia kemudiannya meminta untuk berdebat pula.

“Jadi saya terima cabarannya untuk berbahas mengenai isu yang sedang dihadapi itu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Pada Khamis, ILO dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia diminta memaklumkan sebarang siasatan berhubung buruh paksa kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi mencari jalan penyelesaian sebelum produk Malaysia disekat memasuki negara berkenaan.

Saravanan berkata, beberapa produk telah dikenakan sekatan eksport oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS atas alasan faktor buruh paksa, namun sehingga kini KSM tidak menerima sebarang siasatan daripada pihak AS.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, ramai yang menasihati beliau untuk tidak menerima cabaran tersebut kerana Ramasamy didakwa mempunyai tabiat memutar belit sesuatu perkara untuk publisiti murahan.

“Taktik mengelak Profesor Dr Ramasamy semakin ketara. Dia menuduh mengatakan bahawa saya mengambil jalan mudah dengan meminta ILO dan Pihak Berkuasa AS memberikan lebih banyak maklumat dan saya menerima cabarannya itu untuk berdebat sekali gus mendidiknya tentang langkah-langkah yang diambil untuk menghapuskan buruh paksa.

“Jadi, saya ingin menjelaskan lebih lanjut mengenai permintaan saya kepada ILO dan Pihak Berkuasa AS kerana dia kurang maklumat mengenainya,” ujarnya.

Menurutnya, beliau bagaimanapun tidak mempunyai kewajipan untuk membincangkan hal-hal selain isu buruh pada spektrum yang lebih luas dengannya.

“Daripada berpegang kepada isu yang dia sendiri bangkitkan, dia kini mahu membahaskan perkara dalam konteks yang lebih luas.

“Saya tidak mempunyai kewajipan kepadanya dan dia juga tidak mempunyai 'locus standi' untuk membincangkan hal-hal buruh pada spektrum yang lebih luas dengan saya.

“Jadi saya harap dia berhenti untuk memutarbelitkan mengenai perkara itu dan menghadapi cabaran yang diajukan. Saya bebas dan bersedia pada 22 Mei 2022, jam 2 petang,” jelasnya.