Penduduk tagih janji PM ganti lif baharu: Prabakaran

Prabakaran (kanan) ketika meninjau keadaan lif di Blok 29 PA Seri Perak pada Ahad.
Prabakaran (kanan) ketika meninjau keadaan lif di Blok 29 PA Seri Perak pada Ahad.
A
A
A

SENTUL - Ahli Parlimen Sentul, P Prabakaran mempersoalkan mengenai projek penukaran lif di 67 perumahan awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan projek perumahan rakyat (PPR) di ibu negara yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada tahun lepas yang didakwa belum dilaksanakan hingga kini.

Menurutnya, sebanyak RM127 juta peruntukan keseluruhan diumumkan Perdana Menteri ketika turun padang meninjau penyelenggaraan lif di PA Seri Perak Sentul sebelum ini.

Beliau berkata, kerja baik pulih tersebut dijadualkan bermula awal tahun ini, namun sehingga kini belum ada sebarang kerja penggantian dilakukan.

"Kata projek akan bermula awal tahun ini tapi saya belum nampak lif baharu di PA Seri Perak mahupun di kawasan-kawasan lain.

"Bila projek akan dilaksanakan dan bila penduduk akan mula dapat lif baharu ini?" katanya pada sidang akhbar isu di lif PA Seri Perak Bandar Baru Sentul pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya serta penduduk mahu mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan status projek penggantian lif tersebut.

Sementara itu, Ketua Blok 29 PA Seri Perak, Mohd Khairol Faddil berharap isu lif di kawasan perumahan yang diduduki sejak 1986 itu mendapat perhatian kerajaan dan diselesaikan segera.

Katanya, lif di kawasan tersebut dalam keadaan uzur dan sering rosak serta tidak selamat untuk digunakan.

"Dari segi luaran keadaan lif nampak seperti tiada masalah tetapi apabila kita masuk di dalamnya memang nampak uzur dan kita dapat rasa lif itu bergegar.

"Lif akan rosak semula selepas dibaiki. Sebanyak 12 aduan lif rosak dalam sebulan saya kemukakan, namun tiada penyelesaikan penuh berhubung isu lif di sini," katanya.