Upah RM10 bawa sekampit beras seludup

PGA merampas 1,125kg beras siam pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dari negara jiran pada Sabtu.
PGA merampas 1,125kg beras siam pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dari negara jiran pada Sabtu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang lelaki yang menerima upah sebanyak RM10 untuk setiap kampit beras seludup yang dibawanya berjaya ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan (PGA) Kuantan semasa melalui sekatan jalan raya Banggol Kong di sini pada Sabtu.

Penahanan lelaki yang memandu kereta Proton Saga itu membawa kepada rampasan 1,125 kilogram (kg) beras siam pelbagai jenama dipercayai diseludup dari negara jiran pada jam 4.30 petang.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 225kg beras pulut.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan itu termasuk kereta yang digunakan bagi tujuan penyeludupan dianggarkan berjumlah RM11,075.

"Hasil soal siasat awal suspek menerima upah sebanyak RM10 bagi setiap satu kampit beras seludup yang dibawa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua beras seludup dari negara jiran itu untuk pasaran di sekitar kawasan Melor, Kota Bharu menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Azhari berkata, kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan sebelum diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negara (KSPBN) Kelantan.

Dalam perkembangan lain, beliau yang merupakan Pegawai Pemerintah Medan berkata, sebelum itu sebanyak 1,200kg beras seludup berjaya dirampas di Kampung Teluk Jering, Tumpat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rampasan oleh Batalion 9 PGA Kuala Terengganu itu dilakukan selepas sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara yang sarat membawa barangan itu terbabas di kawasan tersebut.

"Dalam kejadian jam 3 petang itu anggota PGA yang membuat rondaan rutin telah mengesan kereta tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota bertugas telah bertindak mengejar kereta tersebut selepas pemandunya cuba bertindak melarikan diri sebelum terbabas di Kampung Teluk Jering," katanya.

Azahari berkata, nilai rampasan beras seludup itu dianggarkan RM4,800.

"Kita percaya kesemua beras-beras ini telah dibawa masuk secara tidak sah menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

"Kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994," katanya.