Al-Quran solusi untuk semua ummah

Program World #QuranHour dengan tema ‘Dunia Bersujud’, yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana, Studio TV Alhijrah pada Selasa ini.
Program World #QuranHour dengan tema ‘Dunia Bersujud’, yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana, Studio TV Alhijrah pada Selasa ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Al-Quran tidak eksklusif kepada golongan tertentu sahaja, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua ummah untuk memahami isi kandungannya, sekali gus menjadikan ia sebagai solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, umat Islam perlu berusaha menjadi seseorang yang berilmu dengan membaca, memahami dan menghayati al-Quran.

Hussamuddin
Hussamuddin

“Bila saya mula mengkaji al-Quran, saya lihat untuk mengurus syarikat, keluarga, perniagaan dan juga krisis semua ada terkandung dalam ayat al-Quran.

“Jadi, sekiranya umat Islam di seluruh dunia ini boleh pindahkan nilai yang ada pada al-Quran itu ke hati masing-masing di samping menjadikan ia sebagai operating system, maka kita boleh ubah dunia.

“Kita tengok negara Islam pun duk bergaduh sesama sendiri. Berperang. Termasuk kita di Malaysia. Pemimpin sanggup jual bangsa, jual agama. Jadi, bila saya buat kajian rupanya manusia sudah hilang keikhlasan,” katanya pada sesi perkongsian misi berinteraksi dengan al-Quran yang berlangsung secara atas talian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sempena program World #QuranHour dengan tema ‘Dunia Bersujud’, yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana, Studio TV Alhijrah pada Selasa ini.

Dalam perkembangan sama, Hussamuddin berkata, World #QuranHour yang dianjurkan itu bukan sekadar melihat kepada satu jam untuk bersama al-Quran pada hari tersebut, sebaliknya merupakan satu titik permulaan kepada sebuah gelombang besar kerana objektif WUIF adalah My Quran Hour.

“Maknanya setiap orang mesti berinteraksi dengan al-Quran. Berinteraksi maksudnya baca, faham, hayati, amalkan dan sebarkan. Sekurang-kurangnya satu jam satu hari. Itu objektif kita,” ujarnya.

Hussamuddin berkata, pihaknya juga telah melakukan kajian di mana setiap satu jam satu muka surat, ia hanya mengambil masa dua tahun setengah sahaja.

“Bayangkan kita mula dari umur 6 tahun, kemudian pada umur 8 tahun kita dah faham dan khatam tadabbur quran. Ini secara tidak langsung akan membentuk operating system. Bentuk minda dan akhlak.

“Justeru, bila jadi pemimpin, dia akan jadi pemimpin yang baik. Bila jadi pengurus pula, dia akan jadi pengurus yang baik,” katanya.

Sehubungan itu, Hussamuddin menggesa agar semua pihak memainkan peranan masing-masing.

“Mungkin kita kena fikir dan kaji semula. Sebagai orang yang mempunyai ilmu agama, ilmu al-Quran, seharusnya faham tugas masing-masing. Bukan untuk jadi pemimpin, sebaliknya melahirkan pemimpin,” ujar beliau.