Ops Khas Pagar Laut Fasa 2 beri tumpuan kawasan 'panas'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Operasi Khas Pagar Laut yang dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah memasuki Fasa 2 sejak operasi itu bermula pada 19 April lalu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata, aset-aset Maritim Malaysia termasuk Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) telah diaturgerak untuk pemintasan terhadap pergerakan bot atau kapal yang mencurigakan di perairan negara.

"Kita turut memberi penumpuan kepada kawasan 'panas' yang telah dikenal pasti semasa Fasa 1," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Hamid berkata, Operasi Khas Pagar Laut Siri 1/2022 merupakan operasi penguatkuasaan maritim sempena musim perayaan dan kesiagaan aset bagi melaksanakan carilamat dalam membanteras kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) penyeludupan bunga api, mercun serta barang kawalan di sempadan perairan seluruh negara.

"Sebanyak lapan bot termasuk empat bot dari Vietnam telah ditahan dalam operasi khas itu.

"Kita turut menahan awak-awak atau PATI yang terdiri daripada 33 warga Vietnam, Myanmar (lima), Thailand (tiga), Filipina (dua) dan lima individu warga tempatan atas pelbagai kesalahan," ujarnya.

Pada 14 April lalu media melaporkan lebih 2,500 anggota Maritim Malaysia akan ditugaskan dalam Operasi Khas Pagar Laut di seluruh negara bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som memaklumkan daripada jumlah itu, 500 anggota turut ditugaskan di perairan Sabah dan Labuan manakala 450 lagi di Sarawak.