Rebut peluang sertai World #QuranHour secara bersemuka

Adnan (kiri) bersama Pengarah Eksekutif Mydin, Salim Mydin Mohamed (kanan) mempromosikan World #QuranHour yang akan diadakan di Mydin Tunjong pada 26 April ini.
Adnan (kiri) bersama Pengarah Eksekutif Mydin, Salim Mydin Mohamed (kanan) mempromosikan World #QuranHour yang akan diadakan di Mydin Tunjong pada 26 April ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan diajak untuk merebut peluang menyertai program World #QuranHour secara bersemuka pada 26 April ini.

Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Kelantan, Datuk Adnan Hashim berkata, kesempatan tersebut perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana program tersebut jatuh pada 10 terakhir Ramadan yang kaya penuh dengan berkat.

"Program ini akan berlangsung di Mydin Tunjong. Kami menyasarkan lebih 500 peserta akan menyertai program ini yang terdiri daripada pengunjung pasar raya tersebut.

"Setelah dua tahun diadakan secara dalam talian disebabkan Covid-19, ini merupakan kali pertama ia diadakan secara bersemuka," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, jika sebelum ini, acara World #QuranHour ini hanya berlangsung di masjid-masjid sahaja.

Beliau berkata, ia secara langsung membuka lembaran baharu sekali gus dapat menarik lebih ramai untuk hadir ke program berkenaan.

Menurutnya, penganjuran kali ini yang bertemakan 'Dunia Bersujud' diyakini mampu tampil lebih hebat sekali gus memperkukuhkan gelombang gerakan 'Baca, Faham dan Amal Al-Quran' dalam kalangan masyarakat.

"Orang ramai diharap dapat menggunakan peluang ini sebaiknya sebagai membuktikan tanda insaf kepada ALLAH dengan ujian Covid-19 dan banjir luar biasa yang telah berlaku.

"Sesungguhnya dengan ujian-ujian lepas yang dikategorikan sebagai azab kecil memerintahkan manusia menerusi firman-Nya di Ayat 21 Surah As-Sajdah," katanya.