MAFI agih 1,500 bekas bubur lambuk

Dari kiri: Badrul Hisham, Nik Muhammad Zawawi dan Sartini Mohd Noor mengacau bubur lambuk dan diperhatikan oleh Habshah Ali.
Dari kiri: Badrul Hisham, Nik Muhammad Zawawi dan Sartini Mohd Noor mengacau bubur lambuk dan diperhatikan oleh Habshah Ali.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi program Agihan Bubur Lambuk mengagihkan sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk kepada warga kementerian pada Jumaat.

Timbalan Ketua Setiausaha MAFI merangkap Presiden Kelab MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, program Agihan Bubur Lambuk merupakan suatu program amalan tradisi kementerian itu.

“Pada setiap tahun, kementerian cuba untuk mengekalkan tradisi ini dan alhamdulillah program ini berjaya dilaksanakan sekali lagi pada tahun ini dalam fasa negara menuju endemik, masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya berharap penganjuran program seperti ini boleh mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara warga kerja MAFI,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Badrul Hisham berkata, program Agihan Bubur Lambuk pada tahun ini merupakan suatu program anjuran Kelab MAFI dan Puspanita dengan kerjasama Agrobank dan CommerceDotCom yang telah diadakan di Dewan Serbaguna Wisma Tani, MAFI di Putrajaya.

Badrul Hisham (kiri) bersama Tengku Ahmad Badli Shah menunjukkan bubur lambuk yang akan diagihkan kepada warga MAFI.
Badrul Hisham (kiri) bersama Tengku Ahmad Badli Shah menunjukkan bubur lambuk yang akan diagihkan kepada warga MAFI.

“Bubur lambuk adalah hidangan simbolik pada bulan Ramadan di Malaysia kerana ia merupakan juadah seimbang untuk berbuka puasa.

“Lazimnya, bubur ini dimasak bersama daging ayam cincang dan pelbagai rempah istimewa yang akan memberi aroma dan rasa yang enak kepada hidangan ini.

Namun, cara masakan di setiap negeri adalah berbeza dan ini merupakan salah satu keunikan dalam Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, walaupun berbeza tekstur, warna dan rasa di setiap negeri, hidangan bubur lambuk tetap dipilih sebagai hidangan simbolik Ramadan kerana ia pasti menjadi menu wajib berbuka puasa.

“Saya berharap penganjuran program seperti ini boleh menjadi wadah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara warga kerja MAFI,” katanya.