Kes Macau Scam di Negeri Sembilan meningkat ketara

Aibee
Aibee
A
A
A

SEREMBAN - Sindiket penipuan Macau Scam di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan ketara apabila mencatatkan kerugian RM4.56 juta dalam tempoh Januari sehingga pada Khamis lalu berbanding RM930,000 tempoh sama tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superitendan Aibee Abd Ghani berkata, dalam tempoh itu sebanyak 114 kertas siasatan dibuka.

Menurutnya, kes terbaharu melibatkan dua wanita iaitu seorang pesara kerajaan dan seorang guru di daerah ini yang mengakibatkan kerugian RM1.58 juta.

"Pesara terbabit yang berusia 77 tahun kerugian RM1.186 juta selepas ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Mangsa diberitahu ada hutang cukai sebuah syarikat yang didaftarkan atas namanya sebanyak RM18,336," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Menurut Aibee, mangsa menjelaskan tidak mempunyai syarikat dan hanya ada pencen kakitangan kerajaan sebelum disambungkan pula kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk membuat laporan.

Kata Aibee, mangsa diberitahu ada waran tangkap ke atasnya kerana syarikat ditubuhkan atas namanya itu adalah untuk pengubahan wang haram.

"Mangsa menegaskan tidak mempunyai syarikat dan disambungkan pula dengan Bahagian Risikan Bukit Aman yang kononnya mahu membantu menyelesaikan masalah itu.

"Mangsa kemudian diminta memberikan maklumat nombor sembilan akaunnya dan turut menghantar gambar serta kad pengenalan untuk tindakan lanjut," katanya.

Aibee berkata, mangsa telah diberi surat daripada Mahkamah Persekutuan yang kononnya kesemua aset atas namanya perlu diserahkan dan disiasat.

Katanya, mangsa yang akhirnya percaya telah memindahkan wang berjumlah RM727, 774 dalam akaunnya ke dalam dua bank lain.

"Mangsa hanya sedar ditipu selepas mengadu kepada anaknya dan jumlah keseluruhan wang yang telah diambil berjumlah RM1.174 juta," katanya.

Kata Aibee lagi, kes melibatkan guru itu pula menggunakan modus operandi sama menyebabkan mangsa kerugian RM 394,358.00

Menurutnya, mangsa diberitahu ada tunggakan cukai LHDN sebanyak RM38,000.

"Mangsa diberitahu pula ada melakukan kesalahan penyeludupan dadah selain cuba bersekongkol dengan seorang penjenayah yang terlibat dengan pengubahan wang haram.

"Mangsa juga menerima mesej waran tangkap daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai polis," katanya.

Kata Aibee, mangsa diminta untuk pindahkan wang RM39,800 bagi membersihkan namanya dan untuk siasatan lanjut.

Tambah Aibee, mangsa yang bimbang telah membuat pinjaman peribadi dengan Bank Rakyat dan Aeon Kredit.