RM7.06 juta barang seludup dirampas Batalion 7

Azhari semasa turun padang meninjau kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini pada Jumaat.
Azhari semasa turun padang meninjau kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini pada Jumaat.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas pelbagai barangan seludup termasuk kenderaan digunakan untuk kegiatan itu bernilai RM7.06 juta sepanjang tempoh 32 hari penugasan Op Wawasan Kelantan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, sejak mengambil alih tugas kawalan sempadan pada 21 Mac lalu, pihaknya telah merekodkan 137 kes dan rampasan berkait aktiviti penyeludupan.

"Sepanjang tempoh penugasan di Op Wawasan Kelantan, PGA berjaya menahan 251 individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan," katanya selepas turun padang meninjau kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini pada Jumaat.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu kes berkait Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi penyumbang tertinggi kepada nilai rampasan iaitu berjumlah RM2.09 juta.

Beliau berkata, penyumbang kedua nilai tertinggi rampasan berkait dengan polis berjumlah RM1.18 juta diikuti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (RM1.17 juta), Kastam (RM1.09 juta) serta banyak lagi.

Azhari berkata, sepanjang tempoh tersebut PGA turut menahan 134 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara seperti Thailand, Myanmar, Kemboja, Indonesia dan Yaman.

"Selain itu, PGA turut menahan 15 tekong lelaki dan dua wanita yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan PATI," katanya.

Menurutnya, tangkapan PATI warga Myanmar dari etnik Rohingya dilihat berlaku pertambahan berbanding sebelum ini apabila ia melibatkan 73 lelaki dan 19 wanita.

"Peningkatan ini dipercayai berpunca dari pergolakan di negara berkenaan yang memaksa mereka melarikan diri bagi mendapatkan perlindungan selain mencari pekerjaan.

"Kesemua PATI termasuk tekong darat didakwa bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Azhari turut mendedahkan, PGA mengesan penyeludupan PATI menggunakan kenderaan mewah berlaku bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

Katanya, modus operandi itu dapat dikesan melalui beberapa siri tangkapan dan rampasan melibatkan kenderaan jenis BMW, Toyota Alphad, Hyudai Strarex dan Ford Ranger.