Pemandu bas, orang awam bergaduh kerana salah faham

Pemandu bas cedera di kepala.
Pemandu bas cedera di kepala.
A
A
A

KAJANG – Seorang pemandu bas dan orang awam dipercayai terlibat insiden pergaduhan berhampiran sebuah bank di Jalan Sulaiman, Pekan Kajang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut pada jam 10.13 malam.

"Pergaduhan dipercayai berpunca apabila pemandu bas berkenaan tidak dapat lalu di Jalan Sulaiman, Pekan Kajang berhampiran bank tersebut kerana terhalang oleh sebuah lori.

“Dia telah membunyikan hon untuk menarik perhatian pemandu lori yang menghalang laluannya,” katanya.

Beliau berkata, namun, suspek yang turut meletakkan keretanya di tepi jalan menyangka kenderaannya menghalang laluan bas tersebut.

“Ketika suspek sampai ke keretanya, pemandu bas terus membunyikan hon menyebabkan suspek marah dan menampar cermin hadapan bas berkenaan,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, selepas itu, pemandu bas membuka pintu dan berlaku pergelutan antara keduanya.

“Semasa pergelutan, pemandu tersebut telah terjatuh dan luka di dahi. Dia telah bertindak balas dengan memegang leher suspek namun kejadian ini dapat dileraikan oleh orang awam. Kedua-duanya beredar dari tempat kejadian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, berdasarkan laporan dibuat pemandu bas, siasatan awal telah dijalankan dan kedua-dua pihak telah dipanggil untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, pemandu bas berkenaan dan suspek telah berdamai dan mengakui kejadian berlaku kerana salah faham,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, pemandu bas tersebut telah menarik balik laporan yang dibuat.