Kabinet tentukan status projek Taman Rimba Kiara

KHALID
KHALID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang keputusan berhubung rancangan pembangunan atas tanah Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, akan ditentukan Kabinet, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, pihaknya akan membentangkan perkara itu kepada Kabinet bulan depan untuk sebarang keputusan dimuktamadkan sama ada projek pembangunan berkenaan diteruskan atau dibatalkan.

"Kita akan bawa cadangan kepada Kabinet dan kita serahkan kepada Kabinet untuk membuat keputusan sama ada kita batalkan dan kita bayar balik kepada pemaju ataupun seperti mana kita cadangkan, kita teruskan pembangunan itu dan kita terima sahaja kecaman daripada penduduk.

"Jika kita nak batalkan memang kita bayar balik kepada pemaju dengan satu jumlah yang agak tinggi, lebih RM150 juta, tak ambil kira tuntutan-tuntutan lain," katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, skala projek telah dikurangkan kepada 3.2 hektar berbanding 4.8 hektar sebelum ini di mana 1.6 hektar dikembalikan sebagai kawasan lapang justeru munasabah sekiranya projek tersebut diteruskan.

"Daripada 4.8 hektar ekar, 1.6 hektar itu asalnya memang tapak rumah panjang, jadi sekarang ini, bila dah kurangkan, 1.6 hektar adalah tapak rumah panjang, 4.8 hektar lagi adalah tanah tambahan yang asalnya kawasan lapang tetapi telah di zon semula pada 2014 menjadi sebagai kawasan pembangunan bercampur tetapi penduduk tidak setuju dari dulu lagi, jadi kita ambil kira itu.

"Bagi saya, saya anggap setelah dikurangkan, maka munasabah untuk diteruskan kerana mereka (pemaju) akan buat rumah untuk mereka di rumah panjang itu juga," katanya.

Beliau berkata, dengan pengurangan skala projek itu telah menjadikan Taman Rimba Kiara berbaki 6.8 hektar sebagai kawasan lapang ditambah pula dengan 148 hektar Taman Persekutuan Kiara yang terletak tidak jauh dari kawasan itu

Artikel Berkaitan:

"Dah banyak kawasan lapang di kawasan itu, daripada saya bayar balik kepada pemaju RM150 hingga RM200 juta lebih baik saya beli tanah lain di tempat yang tiada taman dan saya wujudkan taman. Itu lebih baik sebab banyak kawasan lapang dan kawasan hijau di kawasan ini," katanya.

Khalid dalam masa sama menolak dakwaan bahawa DBKL tidak sepatutnya bertanggungjawab menangung bayaran kepada pemaju sekiranya projek berkenaan dibatalkan sebaliknya perlu dibayar oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Kata Khalid lagi, DBKL yang perlu tanggung kerana DBKL yang batalkan perintah pembangunan (DO). DO bukan dikeluarkan oleh YWP.

"YWP dah beli tanah, dah tukar nama kepada YWP. Sekarang ini YWP bersama dengan pemaju nak bangunkan kawasan itu. Jadi dah dapat DO pada 2017.

"Kalau DBKL batalkan DO itu, YWP dan pemaju akan saman DBKL. Kita dah tukar nama menjadi YWP kita kena beli balik dari YWP.

"Berapa yang dia bayar dulu, kita kena bayar balik. Perkara ini semua dah kemukakan dalam mahkamah. Jadi apa yang dikatakan YWP kena bayar balik kepada pemaju itu mengarut," katanya.