UNICEF sokong program perintis ATD kanak-kanak dalam tahanan Imigresen

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bersedia menyokong program perintis Alternatif untuk Penahanan (ATD) kanak-kanak dalam tahanan imigresen yang diterajui kerajaan.

Dalam catatan Twitter pada Khamis, Unicef ​​Malaysia (@myUNICEF) berkata ia adalah langkah awal ke arah mewujudkan alternatif kepada kanak-kanak dalam tahanan imigresen di Malaysia.

"Selaras dengan CRC (Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak), tahanan imigresen semestinya bukannya yang terbaik untuk kanak-kanak. UNICEF bersedia untuk menyokong program ATD yang diterajui oleh kerajaan untuk kanak-kanak dalam tahanan imigresen sebagai langkah pertama ke arah mewujudkan alternatif kepada penahanan imigresen kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Ciapan itu susulan kepada maklum balas catatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia (@UNinMalaysia) mengenai insiden di Pusat Tahanan Sementara Sungai Bakap.

"Kami amat berdukacita atas kehilangan nyawa berikutan laporan kejadian ratusan individu melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara Sungai Bakap semalam.

"Kami menyeru semua pihak untuk melaksanakan usaha terbaik dalam melindungi nyawa dan memelihara maruah semua yang terlibat, termasuk kanak-kanak,” menurut ciapan itu.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi Rabu, 528 tahanan Rohingya bertindak melarikan diri dari depoh berikutan rusuhan.

Enam daripada mereka maut dilanggar kenderaan ketika melintas di KM 168 Lebuhraya PLUS menghala ke selatan berhampiran Jawi, Pulau Pinang. - Bernama