Guru rugi RM7.3 juta angkara Macau Scam

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Victor)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Victor)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara bimbang didakwa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram, seorang guru swasta kerugian RM7.3 juta dipercayai ditipu sindiket Macau Scam sejak Februari lalu.

Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Senior Asisten Komissioner Victor Sanjos berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berumur awal 30-an didakwa dihubungi pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak Februari lalu.

"Suspek yang menyamar sebagai pegawai LHDN pada mulanya mendakwa mangsa mempunyai cukai tertunggak berjumlah hampir belasan ribu ringgit.

"Mangsa yang agak panik kemudiannya menuruti arahan suspek dan menyambung panggilan kepada seorang pegawai polis," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, individu yang mendakwa sebagai pegawai polis itu memberitahu mahu menyemak akaun milik mangsa.

"Mangsa memberikan segala butiran akaun miliknya kepada suspek yang kemudiannya menyatakan akaun milik mangsa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram.

"Jenayah tersebut didakwa dilakukan dalam beberapa akaun milik mangsa yang didaftar atas sebuah syarikat. Pada mulanya mangsa menafikan dakwaan tersebut bagaimanapun akur setelah suspek bertindak menyatakan jenayah itu boleh didakwa dan dikenakan hukuman yang berat," katanya.

Justeru, mangsa kemudian diminta untuk membuka dua akaun lain bagi tujuan siasatan.

"Suspek meminta mangsa membuka dua akaun baharu sebelum meminta memindahkan kesemua wang dalam akaun lama ke dalam akaun baharu itu.

"Suspek mendakwa ia perlu dilakukan sebagai salah satu prosedur penyiasatan yang mana memerlukan pemindahan wang dijalankan," katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa memberikan nombor akaun kepada suspek ekoran bimbang didakwa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram.

"Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM7.3 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Victor berkata, orang ramai diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya memberikan butiran peribadi kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.

"Siasatan polis tidak melalui panggilan telefon dan polis sama sekali tidak meminta butiran peribadi seperti nombor akaun dan sebagainya untuk tujuan siasatan.

“Masyarakat boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-2610-1559 / 1599 jika menerima mana-mana panggilan yang mendakwa mereka terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah atau diarah membuka akaun baru bagi tujuan siasatan," katanya.