104 tahanan Rohingya masih bebas: Hamzah

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SEPANG - Seramai 104 tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Rabu masih lagi bebas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada 528 jumlah keseluruhan tahanan yang melarikan diri, mereka yang ditahan semula adalah 424 orang.

Menurut Hamzah, tahanan Rohingya ini juga telah dua tahun ditahan dan disebabkan itu mereka mahu bebas dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap itu.

“Selepas dua tahun kita tahan, mereka nak bebas. Itu yang menyebabkan mereka cuba untuk lari dan akhirnya mereka dapat pecahkan pintu-pintu yang tertentu untuk keluar,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, tindakan kerajaan menahan pelarian Rohingya yang melarikan diri juga merupakan isyarat Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mahu memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, mereka yang ditahan itu tertakluk kepada undang-undang di negara ini.

Tambahnya, Malaysia juga tidak boleh menghantar mereka pulang ke Myanmar disebabkan kerajaan negara itu tidak mengiktiraf pelarian Rohingya sebagai warganegaranya.

Katanya, tindakan menahan mana-mana individu yang memasuki negara ini tanpa dokumen bukan hanya diambil terhadap pelarian Rohingya, malah kepada rakyat negara lain yang cuba berbuat demikian.

“Jika kita nak hantar balik, kita nak hantar balik mana? Ini yang menjadi masalah kepada kita," tegasnya.