Empat lokasi World #QuranHour 2022 di Terengganu

Wan Nur Aziemah
Wan Nur Aziemah
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Empat lokasi dipilih sebagai hotspot utama penganjuran Program World #QuranHour 2022 di Terengganu pada tahun ini.

Lokasi tersebut adalah Masjid Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Putih; Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang); Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dan Masjid Jamek, Kijal, Kemaman.

Setiausaha Persatuan RumahNgaji Negeri Terengganu, Wan Nur Aziemah Wan Mohd Azmi berkata, World #QuranHour 2022 di Masjid Abidin dan Masjid Al-Muktafi Billah Shah akan diadakan pada 26 April, serentak seluruh negara.

“Memandangkan hari tersebut merupakan cuti umum di Terengganu, program di PPAT akan diadakan sehari awal iaitu 25 April manakala penganjuran World #QuranHour 2022 di Masjid Jamek berlangsung pada 27 April.

“Antara tetamu kenamaan dijangka hadir Pengerusi PPAT, Ridzuan Hashim (program di PPAT), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah (Masjid Abidin) dan Pegawai Kha Penyelaras DUN Kijal, Haiqal Safie (Masjid Jamek),” katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Khamis.

World #QuranHour bakal diadakan pada Selasa ini bersamaan 24 Ramadan 1443H.

Ia merupakan sebuah gerakan membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis (Thematic & Reconstruct) dengan solidariti yang dilaksanakan bermula dari Malaysia ke seluruh dunia.

Surah Al-Sajdah dipilih untuk dikaji dan dibumikan bersempena World #QuranHour 2022. Matlamat Surah Al-Sajdah adalah menjadi panduan untuk penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat Dunia Berbudi & Penyayang.

Menurut Wan Nur Aziemah, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan program yang sudah diadakan sejak beberapa tahun lalu itu dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau berkata, kempen membudayakan Al-Quran itu digerakkan melalui pelbagai medium termasuk media sosial, hebahan di radio dan jemputan rasmi kepada agensi-agensi supaya lebih ramai masyarakat mendapat maklumat tentangnya.

“Kesedaran masyarakat hari ini tentang penghayatan Al-Quran perlu ditambah baik lagi. Walaupun kita sekarang berada pada era vuca dan digital yang mudah untuk akses kepada ilmu atau pengahayatan Al Quran, namun penghayatan perlu kepada proses tadabbur (deep thinking) dan tazakkur (deep awareness) supaya orang ramai boleh interaksi dengan Al Quran dengan lebih baik.

“Ini penting supaya apabila interaksi dengan Al-Quran hati akan terjentik dengan kalam Allah. Saya harap orang ramai dapat mengambil peluang sama-sama menghayati Al-Quran pada World #QuranHour,” katanya.