Identiti enam tahanan Rohingya maut kemalangan dikenal pasti

Mohd Suhaili
Mohd Suhaili
A
A
A

GEORGETOWN - Polis telah mengenal pasti identiti enam tahanan etnik Rohingya yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 165 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jawi di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka terdiri tiga lelaki dan tiga perempuan termasuk dua kanak-kanak berusia lapan dan sembilan tahun.

Menurutnya, kejadian itu telah dimaklumkan kepada pihak kedutaan negara terbabit untuk tindakan selanjutnya termasuk urusan pengurusan mayat.

"Selain enam maut terdapat dua lagi tahanan yang cedera ringan dan telah diberikan rawatan di Hospital Sungai Bakap semalam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, pada Khamis.

Mengulas mengenai Op Tutup bagi mengesan baki tahanan yang lolos, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya berjaya menangkap semula 28 orang lelaki pada Rabu dan dua orang lagi pada pagi Khamis.

Jelasnya, 28 lelaki ditangkap dalam kawasan kebun sawit berhampiran kawasan lebuh raya manakala dua lagi ditahan berhampiran Sungai Kerian di kawasan Transkrian, Nibong Tebal.

"Setakat hari ini, kita sudah berjaya menangkap semula 30 orang tahanan Rohingya dan baki tahanan yang masih lari dipercayai adalah 111 lagi tahanan.

“Bagaimanapun, statistik sebenar adalah daripada pihak imigresen dan kita hanya membantu operasi mencari dan menahan semula mereka yang melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah memohon bantuan unit udara dari Bukit Aman untuk melakukan pencarian menggunakan helikopter bagi mengesan baki tahanan yang melarikan diri.

Mohd Shuhaily percaya, kebanyakan tahanan yang melarikan diri masih berada di kawasan sekitar Seberang Perai Selatan kerana keadaan diri mereka yang berkaki ayam, tidak makan dan tidak mempunyai hala tuju.