Macron tolak idea larangan bertudung

Le Pen (kiri) bertegang urat dengan seorang wanita Islam berhubung cadangan larangan berhijab semasa berkempen di selatan Perancis minggu lalu. - Foto ft.com
Le Pen (kiri) bertegang urat dengan seorang wanita Islam berhubung cadangan larangan berhijab semasa berkempen di selatan Perancis minggu lalu. - Foto ft.com
A
A
A

PARIS - Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberi amaran bahawa pesaingnya, nasionalis sayap kanan, Marine Le Pen berisiko mencetuskan 'perang saudara' jika beliau dipilih dan melaksanakan rancangannya untuk mengharamkan pemakaian tudung dalam kalangan wanita Islam.

Semasa debat Presiden yang disiarkan di televisyen pada Rabu, Len Pen, 53, mengesahkan bahawa beliau tetap dengan cadangan kontroversinya untuk mengharamkan tudung.

Len Pen sebelum ini menganggap tudung adalah sebahagian daripada seragam yang dikenakan kelompok Islam, namun pada masa menegaskan beliau tidak menentang Islam atau komuniti Muslim di Perancis.

"Anda akan menyebabkan perang saudara jika berbuat demikian (mengharamkan tudung). Saya katakan ini dengan ikhlas.

"Lagi pun, berapa ramai anggota polis yang anda cadangkan untuk mengejar individu memakai tudung, kippa atau simbol agama lain?

"Cadangan anda tidak masuk akal," ujar Macron.

Sementara itu, Le Pen berkata, larangan tersebut yang merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan rayanya sengaja disensasikan media.

Media tempatan melaporkan bahawa larangan dan jaminan saman terhadap wanita bertudung telah membantu Le Pen mengakhiri jurang sokongan antara beliau dan Macron yang sebelum ini mendahului dalam tinjauan pendapat.

"Larangan itu bertujuan memerangi kebangkitan kumpulan radikal Islam.

"Saya berpendapat kita perlu memperkenalkan undang-undang menentang ideologi Islam yang menjejaskan asas republik, sekularisme dan demokrasi kita," katanya.

Le Pen berkata, larangan memakai tudung di semua tempat awam akan dikuatkuasakan oleh polis dengan cara yang sama seperti memakai tali pinggang keledar di dalam kereta.

Katanya lagi, akan menggunakan pungutan suara bagi mengelak cadangan tersebut disifatkan bertentangan dengan dasar Perlembagaan negara yang tidak menyokong diskriminasi dan pelanggaran kebebasan peribadi.

Undang-undang semasa Perancis melarang peletakan simbol agama yang jelas di sekolah manakala pemakaian penutup muka penuh di khalayak ramai dibenarkan atas dasar ia terpakai kepada semua rakyat dan dalam tetapan tertentu.

Macron dan Le Pen akan 'berentap' semula dalam pusingan kedua Pilihan Raya Presiden pada 24 April ini.

Pada pusingan pertama, kedua-duanya meraih undi terbanyak dengan Macron mendapat 28.2 peratus undi, manakala 23.4 peratus undi berpihak kepada Le Pen. - AFP