FRU, PGA digerak buru tahanan etnik Rohingya

Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah ketika operasi mencari etnik Rohingya di dalam hutan sekitar Nibong Tebal yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap. - Foto Bernama (Gambar kecil: Hazani)
Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah ketika operasi mencari etnik Rohingya di dalam hutan sekitar Nibong Tebal yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap. - Foto Bernama (Gambar kecil: Hazani)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menggerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk mengesan baki tahanan etnik Rohingya ketika melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah,

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, seramai 100 pegawai dan anggota telah digerakkan untuk operasi ini selain aset sebuah helikopter.

"Keanggotaan ini melibatkan PGA dari Briged Utara dan FRU Pulau Pinang.

"Jumlah keanggotaan ini akan ditambah bergantung kepada situasi dalam operasi mengesan baki tahanan etnik Rohingya yang masih lolos," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, Rabu, seramai 528 tahanan etnik Rohingya dilaporkan melarikan diri dari depot tahanan sementara itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, tahanan etnik Rohingya itu melarikan diri dengan memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang menggunakan kekuatan tenaga.

Susulan itu, Polis Kedah telah melancarkan Op Kesan bagi mengesan baki pelarian Rohingya yang melarikan diri selain Op Tutup di mana empat sekatan jalan raya dibuat di Seberang Perai Selatan, empat di Bandar Baharu dan lima di Kulim, Kedah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 dan 147 Kanun Keseksaan.

Untuk info, depot terbabit disewa sejak tahun lalu dan boleh menampung kapasiti hingga 700 tahanan, dengan dikawal ketat oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).