'Jangan lindungi tahanan lolos'

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melindungi mana-mana tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang meloloskan diri dari Depot Sementara Imigresen Relau, Pulau Pinang pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tindakan melindungi tahanan tersebut merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, sebarang maklumat mengenai kehadiran pendatang asing etnik Rohingya yang melarikan diri itu di kawasan kediaman masing-masing perlu dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Nasihat saya kepada masyarakat jika ada terjumpa dengan tahanan di kawasan masing-masing, hubungi pihak polis supaya kita boleh melakukan tangkapan dan menyerahkan kepada pihak yang sedang menjalankan siasatan.

"Jangan sesekali melindungi mereka, itu satu kesalahan di bawah undang-undang. Kadang-kadang kita bersimpati dengan pelarian Rohingya ini, kita pun simpan mereka di rumah, beri makan dan sebagainya. Jangan sesekali bersimpati terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Perak Bersama Institusi Kewangan negeri Perak di Auditorium Pengkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLGPU) di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dengan menggunakan kekerasan ke atas tahanan tersebut.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, sehingga kini pihaknya belum membuat sebarang tangkapan tahanan yang lolos masuk ke negeri ini.

"Kita masih lagi meneruskan Ops Tutup atau sekatan jalan raya di beberapa lokasi yang saya telah jelaskan semalam. Sekatan jalan raya itu akan diteruskan bagi mengesan saki-baki pelarian Rohingya yang dikatakan telah keluar dari depot tahanan Imigresen di Pulau Pinang.

"Setakat ini, kita belum kesan (tahanan) di sini. Mungkin masih berada di utara semenanjung sama ada di Pulau Pinang ataupun di Kedah," katanya.

Mior Faridalathrash pada Rabu memaklumkan polis Perak mengadakan 54 sekatan jalan raya di beberapa jalan persekutuan dan lebuh raya bagi membantu mengesan tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu pada Rabu.

Sekatan sempena Op Tutup itu digerakkan bermula awal pagi Rabu sebaik menerima maklumat daripada Kontinjen Kedah dan Pulau Pinang berhubung insiden tahanan melarikan diri dari depot berkenaan.

Tumpuan Op Tutup diberikan di tiga daerah yang bersempadanan iaitu di Kerian, Selama dan Taiping.