Polis kesan dalang rusuhan etnik Rohingya di Depot Sungai Bakap

Seramai 385 daripada kesemua tahanan yang melarikan diri berjaya ditangkap semula oleh pihak berkuasa.
Seramai 385 daripada kesemua tahanan yang melarikan diri berjaya ditangkap semula oleh pihak berkuasa.
A
A
A

BANDAR BAHARU - Polis sedang mengesan dalang yang terlibat dalam insiden rusuhan membabitkan tahanan Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Datuk G Suresh Kumar berkata, suspek berusia 30-an yang juga merupakan tahanan etnik Rohingya disyaki antara penyebab seramai 528 pelarian meloloskan diri.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit menimbulkan sentimen sehingga menyebabkan insiden itu berlaku.

"Hasil soal siasat ke atas tahanan, dalang ini disyaki sebagai 'kepala' yang mengapi-apikan sentimen sehingga mencetuskan tindakan melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis masih mengesan suspek dan siasatan terperinci sedang dijalankan.

Sementara itu, ditanya faktor berlakunya insiden rusuhan sama ada ia berkaitan dakwaan ketiadaan rawatan dan ubatan terhadap tahanan yang sakit, Suresh Kumar berkata, ia bergantung kepada hasil bedah siasat.

"Untuk makluman, seorang tahanan meninggal dunia dan bedah siasat dijalankan ke atas mayat terbabit.

"Selagi belum dapat keputusan (bedah siasat), sesiapapun jangan buat andaian,"katanya.

Dalam pada itu, Suresh Kumar mengesahkan terdapat satu kematian dalam kalangan tahanan membabitkan seorang lelaki berusia 30-an pada malam sebelum kejadian itu.

"Masa kematian dipercayai malam yang sama sebelum kejadian rusuhan, namun selagi tiada laporan bedah siasat kami tak dapat nyatakan," kata beliau.