Maritim bantu bawa pesakit kritikal perlu pembedahan segera

Maritim Malaysia Kedah dan Perlis melaksanakan bantuan evakuasi perubatan bagi membawa seorang pesakit kritikal pada malam Rabu.
Maritim Malaysia Kedah dan Perlis melaksanakan bantuan evakuasi perubatan bagi membawa seorang pesakit kritikal pada malam Rabu.
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis melaksanakan bantuan evakuasi perubatan (Medevac) bagi membawa seorang pesakit kritikal sekitar jam 9.30 malam pada Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Hospital Sultanah Maliha Langkawi memohon bantuan Medevac itu bagi membawa pesakit Teo Sin Leong, 63, yang mengalami pendarahan otak akibat kemalangan jalan raya dua minggu lepas.

Mohd Zawawi berkata, lelaki terbabit memerlukan pembedahan segera di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Susulan itu, pesakit dibawa menaiki Bot Perkasa 1228 Maritim Malaysia dari jeti Maritim Malaysia, Bukit Malut ke Jeti Kastam Kuala Perlis.

"Pesakit diiringi tiga pegawai perubatan dan petugas kesihatan serta seorang ahli keluarga," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan kepada komuniti maritim setempat serta mengalu-alukan untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750 atau MERS 999.

Artikel Berkaitan: