Polis tumpas kegiatan jual kad ATM, tahan 10 individu

Anbalagan menunjukkan antara barangan yang dirampas menerusi serbuan yang dijalankan.
Anbalagan menunjukkan antara barangan yang dirampas menerusi serbuan yang dijalankan.
A
A
A

SERDANG - Kegiatan menjual kad pengeluaran wang automatik (ATM) dipercayai digunakan untuk tujuan penipuan pinjaman dalam talian tumpas menerusi penahanan 10 individu di sekitar Puchong dan Gombak pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kesemua suspek yang ditahan adalah warga tempatan berumur antara 25 hingga 39 tahun.

"Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Serdang berjaya memberkas kesemua suspek yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita.

"Serbuan turut berjaya merampas lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama, 38 keping kad ATM pelbagai bank tempatan, 20 keping kad sim, wang tunai berjumlah RM3,957 dan sebuah kereta Perodua Axia serta pelbagai barangan lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini pada Khamis.

Anbalagan (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada Khamis.
Anbalagan (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada Khamis.

Beliau berkata, sindiket dipercayai bergiat aktif menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun 2021.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah mereka memperoleh kad ATM daripada pengedar sekitar Lembah Klang dengan harga antara RM1,500 hingga RM1,800.

"Kemudian sindiket ini dipercayai menjual kad ATM itu kepada sindiket yang menjalankan penipuan dengan harga RM2,500 dan ke atas untuk setiap keping kad itu.

"Pemilik kad ATM ini dipercayai menjual kad mereka kerana terpedaya dengan iklan pinjaman wang dalam laman sosial seperti Facebook yang meminta mereka menyerahkan kad ATM mereka kepada sindiket sebagai cagaran," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Anbalagan berkata, sebanyak 26 kes disiasat melibatkan kerugian RM279,524.62 dan tiga individu telah dituduh pada 2021.

"Masyarakat diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menyerahkan maklumat peribadi kepada pihak lain termasuk kad ATM milik mereka.

"Sekiranya akaun mana-mana individu didapati digunakan bagi tujuan penipuan, mereka boleh disiasat di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan," katanya.