Negeri Sembilan lulus 207 permohonan pertukaran status tanah

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan sebanyak 207 daripada 505 permohonan pertukaran status tanah kediaman daripada pajakan kepada hak milik kekal.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (Sikamat-PKR) berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban menerima permohonan paling tinggi iaitu 241 permohonan dan 162 daripadanya telah pun diluluskan.

"Daripada 35 permohonan yang telah diterima di Pejabat Daerah Kecil dan Tanah Gemas pula, 21 daripadanya telah diluluskan.

" Jumlah permohonan yang telah diterima di Pejabat Daerah dan Tanah Tampin adalah sebanyak 35 permohonan dan 17 daripadanya telah diluluskan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Chew Seh Yong(Lobak-DAP) pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri(DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 pada Rabu.

Menurutnya, bagi daerah Jempol pula hanya tujuh permohonan diluluskan daripada 148 permohonan yang diterima.

Tambah beliau, sebanyak 11 permohonan diterima di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson dan 35 di Pejabat Daerah dan Tanah Rembau sedang diproses.

"Tiada permohonan diterima di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah dan di Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu," katanya.

Sementara itu katanya, jumlah premium yang dikutip oleh kerajaan negeri melalui permohonan pertukaran itu ialah sebanyak RM557,245 bagi 144 hak milik di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.

Ujarnya, permohonan di pejabat daerah dan tanah yang lain sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan dan bayaran premium daripada pemohon.