‘Jual beli’ Perak FC selesai hari ini

Perak FC
Perak FC
A
A
A

SEGALA urusan penyerahan hak milik kelab Perak FC dijangka selesai pada Rabu setelah Impact Media & Communications Sdn Bhd (IMC) mencapai persetujuan dengan tawaran JR Resources Sdn Bhd.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah, pihaknya telah menerima draf perjanjian akhir berhubung urusan penyerahan berkenaan dan hanya menunggu untuk ditandatangani.

“Kami bersetuju dengan final draft agreement yang diterima semalam (Isnin). Malah, kami mendapat resolusi daripada setiausaha syarikat yang memberikan kuasa kepada kami untuk menjual atau memindahkan perkongsian kepada pihak JR Resources.

“Kami juga dah dapat nama dua pengarah baharu, jadi sekarang kami hanya tunggu esok (Rabu). Wakil daripada JR Resources akan hadir ke pejabat kami bagi urusan tandatangan kesemua dokumentasi bagi melengkapkan proses penyerahan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Isu penyerahan Perak FC kepada JR Resources yang disebut-sebut sebagai pemilik baharu sudah mula hangat diperkatakan oleh peminat dan penyokong kelab Liga Premier itu sejak minggu lalu.

Namun, kedua-dua pihak hanya mencapai persetujuan bersama pada Isnin selepas beberapa kali ‘majlis rasmi’ penyerahan Perak FC dilaporkan terhenti di separuh jalan.

Mengulas bukti dana (proof of funds) - dokumen wajib yang perlu dikemukakan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Muhammad Yunus berkata, pihak JR Resources memaklumkan bahawa mereka akan berurusan terus dengan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu.

“Dokumen proof of funds ini adalah bagi tujuan meyakinkan MFL terhadap kemampuan pemilik baharu yang bakal menguruskan Perak FC nanti.

“Itu adalah syarat daripada MFL, tanpa mengira sama ada syarikat berkenaan besar atau kecil. Ia mesti dikemukakan dalam satu akaun stakeholder bagi memastikan keadaan kewangan syarikat,” jelasnya.