MDKP nafi penguat kuasanya bertindak kasar

Tangkap layar video yang tular yang memaparkan makanan berselerak di atas jalan raya. -Foto Facebook
Tangkap layar video yang tular yang memaparkan makanan berselerak di atas jalan raya. -Foto Facebook
A
A
A

KUALA PILAH - Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) menafikan anggota penguat kuasanya dengan sengaja menyelerak, mencampak dan membuang barang perniagaan seorang peniaga di atas jalan raya seperti yang dipaparkan dalam video tular di laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp.

Yang Dipertua MDKP, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, hasil siasatan kejadian berlaku pada Isnin di mana pegawai penguat kuasa MDKP membuat rondaan serta pemantauan penjaja di Bazar Ramadan Air Mawang dan persekitaran kawasan Johol.

"Semasa rondaan, didapati seorang peniaga tepi jalan di Kampung Renggoh, Jalan Johol, Air Mawang tidak mempunyai lesen penjaja yang dikuatkuasakan mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKP) 1998.

"Untuk makluman, tujuan rondaan ini dilaksanakan adalah untuk pemeriksaan semula oleh pegawai penguat kuasa MDKP terhadap peniaga tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, rondaan pertama dilaksanakan pada 14 April lepas (Khamis) dan hasil rondaan didapati peniaga yang sama tidak mempunyai lesen penjaja.

"Kami telah menasihati peniaga tersebut untuk mematuhi prosedur berniaga di kawasan MDKP dengan memohon lesen penjaja di pejabat. Berikutan itu, setelah pemeriksaan semula dilaksanakan, peniaga tersebut didapati masih ingkar dan tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan sebelum ini," katanya.

Mohd Faizal berkata, rakaman yang tular berdurasi 20 saat adalah sumber daripada orang awam dan tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku.

"Peniaga tersebut sebenarnya telah melakukan provokasi terhadap penguat kuasa MDKP dan dengan sendirinya telah menyelerakkan meja jualan hingga mengakibatkan barang jualan beliau terjatuh di atas jalan raya.

"Pihak MDKP menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa penguat kuasa kami telah membuang barang jualan peniaga tersebut seperti yang didakwa dalam media sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp.

"Kami bersama-sama Ahli Majlis MDKP sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur dan toleransi yang tinggi apatah lagi dalam menjaga kesucian di bulan Ramadan dalam menguruskan hal ehwal penjaja kecil di seluruh Kuala Pilah terutamanya peniaga-peniaga yang berniaga di tepi jalan seperti di sepanjang Jalan Seremban - Kuala Pilah," katanya.

Jelasnya, setiap isu akan dibincangkan secara muzakarah dan masalah penjaja kecil seringkali diberikan perhatian yang serius oleh pentadbiran MDKP dan kerajaan Negeri Sembilan di mana pada tahun 2021 telah dibelanjakan peruntukan lebih RM 1 juta bagi membina Pusat Penjaja Kecil di Melang, Juasseh dan Pilah Perdana bagi penempatan semula penjaja kecil ini.

"Bagaimanapun, kami memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan tegas dengan melaporkan kepada pihak polis tentang kenyataan palsu dan fitnah yang telah disebarkan di dalam media sosial Facebook bagi menjaga imej dan kredibiliti MDKP," katanya.