Piala Agong: Terengganu akui tugas getir pertahan kejuaraan

Amir Amri
Amir Amri
A
A
A

SKUAD ragbi Terengganu mengakui bakal berdepan tugas getir dalam misi mempertahankan status juara kejuaraan ragbi Piala Agong yang dimenangi pada 2019.

Ia susulan pasukan tersebut diundi dalam ‘kumpulan maut’ bersama Johor, Kedah dan Melaka pada kejohanan berprestij itu yang akan membuka tirainya pada 22 Oktober depan.

Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), Amir Amri Muhammad berkata, skuadnya telah melakukan pelbagai persiapan, termasuk aspek pemilihan pemain bagi memastikan gelaran juara kekal menjadi milik mereka.

“Setelah dua tahun tiada penganjuran Piala Agong disebabkan penularan Covid-19, pastinya kami perlu berusaha lebih keras bagi mengembalikan aspek kecergasan dan momentum setiap pemain.

“Apatah lagi tahun ini kita juga berdepan cabaran dalam mempertahankan kejuaraan ragbi 7 sepasukan kebangsaan yang bakal berlangsung pada 1 hingga 2 Julai di Perak,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, ketiadaan Sabah yang merupakan kuasa besar sukan ragbi tanah air di kejohanan kali ini tidak menjadi kelebihan dan jaminan buat Terengganu terus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi buat pertama kali dalam sejarah pembabitannya.

Ini kerana menurutnya, pasukan negeri lain juga membuat persiapan rapi dalam tempoh pandemik.

“Sebahagian besar pemain musim lalu yang telah bersama-sama melakar kejayaan meraih kejuaraan sulung Piala Agong dikekalkan pada musim ini.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun kami masih mencari calon pengganti ketua jurulatih pasukan, Allahyarham Izaimi Zainuddin yang telah meninggal dunia pada Disember tahun lalu,” katanya. - Bernama