Suami isteri aktif edar dadah ditahan

Chong Chern (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada Isnin.
Chong Chern (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada Isnin.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Sepasang suami isteri ditahan polis selepas disyaki terlibat dengan aktiviti mengedar dadah dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Simpang Ampat, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, dalam serbuan jam 3 petang itu polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM214,776.

Menurutnya, antara dadah yang dirampas melibatkan 164 bungkusan plastik minuman pelbagai perisa tiga dalam satu yang mengandungi serbuk dadah MDMA seberat 4,209.88 gram (g).

"Ketika pemeriksaan dibuat kita turut merampas dadah jenis eramin 5 seberat 7.66g, syabu (27.64g), ketamin (5.42g) dan pil ekstasi (9.52g).

"Hasil risikan mendapati pasangan berusia 40 dan 31 tahun ini aktif dengan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini dan kesemua dadah itu dijual kepada pihak ketiga untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Chong Chern berkata, selain dadah pihaknya juga merampas sebuah kenderaan dan barang kemas yang keseluruhan bernilai RM37,240 daripada pasangan terbabit.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua tangkapan positif dadah malah semakan dibuat juga mendapati mereka mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah.

"Kedua-dua suspek yang mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun kini direman selama tujuh hari bermula 14 April hingga 20 April depan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut masih lagi diteruskan dan disiasat mengikus Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan," katanya.