Chelsea tempah slot perlawanan akhir Piala FA

Ruben Loftus-Cheek meraikan gol pendahulu buat Chelsea dalam perlawanan berintensiti tinggi menentang Crystal Palace di Stadium Wembley.
Ruben Loftus-Cheek meraikan gol pendahulu buat Chelsea dalam perlawanan berintensiti tinggi menentang Crystal Palace di Stadium Wembley.
A
A
A

CHELSEA mengesahkan slot perlawanan akhir Piala FA buat kali ketiga berturut-turut, selepas menjinakkan Crystal Palace 2-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Wembley pada Isnin.

Kemaraan ke perlawanan akhir itu menyaksikan The Blues kendalian Thomas Tuchel akan berentap dengan kelab sarat tradisi kejuaraan Inggeris, Liverpool pimpinan Jurgen Klopp di Stadium Wembley pada 14 Mei depan.

Liverpool yang dalam misi quadruple mengesahkan slot perlawanan akhir sebelum itu selepas menjinakkan Manchester City, 3-2 dalam aksi berintensiti tinggi di Stadium Wembley.

Bagaimanapun The Blues terpaksa menunggu babak kedua sebelum dapat merobek keampuhan benteng The Eagles, selepas anak buah Patrick Vieira tampil cemerlang babak pertama.

Gawang The Eagles akhirnya bolos oleh dua pemain The Blues Ruben Loftus-Cheek (65') dan Mason Mount (76') sekali gus membawa kelab London itu ke perlawanan akhir.

Dalam penampilan final Piala FA kelima dalam tempoh enam tahun, Chelsea berpeluang menebus kehampaan selepas menjadi naib juara kepada Leicester City dan Arsenal dalam dua musim terakhir dan juga pentas membalas dendam kekalahan final Piala Liga kepada Liverpool pada Februari.

“Saya gembira dapat menjadi sebahagian komuniti Chelsea daripada satu lagi perlawanan akhir Piala FA.

"Piala FA merupakan kejuaraan yang besar. Saya sangat bersyukur dan kami akan bersedia untuk perlawanan akhir," kata Tuchel.

Artikel Berkaitan: