Gudang simpan bahan kimia musnah dalam kebakaran

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Sebuah gudang bahan kimia milik Baker Hughes yang menyimpan bahan berbahaya di Jalan Rangu, Kampung Rangu di sini musnah dalam kebakaran petang tadi, sehingga menyebabkan asap tebal kelihatan dari jarak kira-kira 10 kilometer.

Penduduk di kampung berhampiran dilaporkan terdengar bunyi letupan kuat ketika asap memenuhi awan di kawasan itu selama beberapa jam.

Pada kejadian 2.30 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagaimanapun gudang yang digunakan untuk menyimpan bahan kimia berbahaya berkaitan minyak dan gas itu, musnah sepenuhnya.

Sekurang-kurangnya 36 anggota bomba dari Balai Polis Rancha-Rancha, Layangan, Labuan Sentral dan ibu pejabat bergegas ke tempat kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Ismaidi Ismail berkata, kebakaran itu disedari oleh seorang pekerja gudang yang memaklumkan kepada pihak berkuasa beberapa minit selepas kejadian.

"Sebaik anggota bomba tiba, kelihatan asap tebal yang menunjukkan api sudah lama merebak.

"Mereka berjaya mengawal api daripada terus merebak ke gudang lain yang menyimpan bahan kimia industri dalam tempoh satu setengah jam,” katanya kepada Bernama.

Penduduk kampung juga menyaksikan terdapat bahan kimia tumpah di atas jalan berikutan kebakaran itu dan anggota bomba juga dilihat membersihkan jalan yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

Ismaidi berkata, siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kebakaran. - Bernama