'Bukan hanya bincang isu penggantungan Tun Faisal'

Mohd Hisamudin
Mohd Hisamudin
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Bahagian Putrajaya dalam mesyuarat pada Sabtu bukan hanya membincangkan isu penggantungan keahlian bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz tetapi juga membincangkan perkara lain.

Ketua Penerangannya, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, antara perkara lain yang dibincangkan adalah melibatkan kesejahteraan penduduk dan kakitangan awam di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

“Betul ada mesyuarat semalam (Sabtu), kami membincangkan banyak perkara dan kami terima laporan daripada biro-biro bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan mesyuarat berjalan seperti biasa.

"Tun Faisal dapat maklumat dari mana? Kalau rasa dia tak bersalah buat apa nak takut, bukankah dia cakap dia sentiasa di pihak yang benar, jadi buat apa kelam-kabut tunggu sajalah keputusan rayuan dia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Hisamudin berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Tun Faisal kononnya UMNO Putrajaya tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan Lembaga Disiplin parti berkenaan dan mahu mengambil langkah susulan bagi memastikan beliau dipecat.

Pada 27 Mac tahun lalu, Majlis Tertinggi UMNO menggantung keahliaan Tun Faisal kerana didakwa melanggar disiplin parti.

Pada Ahad, media melaporkan Tun Faisal yang digantung keahliannya itu mendakwa bahawa Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kurang senang dengan keputusan lembaga disiplin.

Tun Faisal turut mendakwa beliau menerima maklumat daripada mereka yang hadir dalam mesyuarat tersebut bahawa Tengku Adnan tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan Lembaga Disiplin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Mohd. Hisamudin berkata, adalah lebih baik bagi parti itu menambah baik program untuk membantu penduduk menghadapi kehidupan yang lebih mencabar ketika dilanda wabak Covid-19.