Sila log masuk terlebih dahulu.

Duo serangan JDT ancaman buat Ulsan Hyundai

Myung Bo
Myung Bo
A
A
A

DUO serangan Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri dilihat mampu memberi ancaman besar kepada kelab liga Korea, Ulsan Hyundai apabila kedua-dua pasukan itu bakal membuat perhitungan dalam aksi kedua Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini.

Perkara tersebut diakui pengendalinya, Hong Myung Bo sekali gus menuntut anak buahnya untuk lebih bersedia apatah lagi selepas kedua-dua pemain serangan itu berjaya merobek gol lawan ketika pasukan Harimau Selatan merekodkan kemenangan besar 5-0 sewaktu menentang Guangzhou Evergrande dalam perlawanan pembukaan kumpulan I Jumaat lalu.

“Kami perlu memberi tumpuan kepada bahagian serangan (JDT) terutama duo serangan mereka (Bergson dan Forestieri) yang kini berada di prestasi terbaik apabila berjaya menjaringkan gol pada perlawanan pertama.

“Kedua-duanya saya lihat mempunyai kombinasi terbaik yang akan menjadi ancaman kepada barisan pertahanan kami. Malah pemain kelahiran Brazil, Bergson itu juga sebelum ini pernah bermain di Liga Korea yang saya fikir akan menjadi kelebihan dirinya.

“Jadi saya berharap, pasukan terutama barisan pertahanan memberi fokus kepada dua pemain tersebut kerana mereka akan menjadi ancaman untuk kami mengutip tiga mata nanti,”katanya dalam sidang media sebelum perlawanan, pada Ahad.

Dalam pada itu, Myung Bo berkata, keputusan seri 1-1 yang direkodkan pada aksi pertama kumpulan I, menentang juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale jelas tidak akan mengganggu persiapan pasukannya untuk bertemu JDT.

Meskipun kecewa kerana gagal merekodkan kemenangan selepas dibolosi pada minit akhir perlawanan, dia percaya pasukannya mampu menampilkan persembahan terbaik sama seperti ketika menentang Kawasaki Frontale.

“Saya tidak melihat keputusan seri pada perlawanan akhir itu akan menjejaskan persiapan pasukan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Benar, kami kecewa dengan keputusan itu kerana pasukan membiarkan mereka dibolosi pada minit-minit akhir perlawanan. Tetapi mereka beraksi dengan baik. Jadi, sudah cukup untuk memuaskan hati saya,” katanya.