Otai dedah rahsia 'jinakkan' mesin gol JDT

Pemain JDT Arif Aiman Hanapi ketika mengasak pemain Perak, Muhamad Afif Asyraf Mohamad Zabawi pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.
Pemain JDT Arif Aiman Hanapi ketika mengasak pemain Perak, Muhamad Afif Asyraf Mohamad Zabawi pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.
A
A
A

CARA bertahan paling baik apabila berdepan pasukan berkualiti seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah dengan menampilkan corak menyerang ke atas juara sembilan kali berturut-turut Liga Super tersebut.

Itu pandangan legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail kepada pasukan yang akan berdepan skuad kendalian Esteban Solari dalam baki perlawanan Liga Super musim ini.

“Kualiti para pemain dimiliki pasukan JDT berdasarkan prestasi semasa sememangnya tidak boleh dipersoalkan dalam merangkul kejuaraan ke-10 berturut-turut Liga Super musim ini.

“Cuma apa yang boleh dilakukan baki pasukan untuk mengekang para pemain JDT daripada menjaringkan lebih banyak gol adalah dengan menampilkan gaya permainan bola sepak sebenar.

“Nasihat saya kepada pasukan-pasukan ini bermainlah gaya bola sepak sebenar dengan tingkatkan kualiti serangan bagi menghindari pasukan lawan menyerang bertali arus,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada Ahad, Harimau Selatan menewaskan Perak FC, 5-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sekali gus kemenangan ke-20 selepas mengharungi 20 perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan penyandang juara sembilan kali berturut-turut tersebut berada di landasan terbaik menjulang kejuaraan lebih awal dengan aksi berbaki enam perlawanan.

Baki aksi liga bakal menyaksikan JDT berdepan Kedah Darul Aman (KDA), PDRM FC, Kelantan United, Kuching City, Sri Pahang FC dan Penang FC sebelum melabuhkan saingan musim ini.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, JDT sebelum ini menewaskan KDA (6-0 di Iskandar Puteri, 9 April), PDRM (1-0 di Petaling Jaya, 19 April), Kelantan United (6-0 di Kota Bharu), Kuching City (4-0 di Kuching, 19 Mei), Sri Pahang (2-0 di Iskandar Puteri, 24 Mei) dan Penang FC (2-0 di Pulau Pinang).

Namun di sebalik itu, tumpuan dalam kalangan komuniti bola sepak tempatan lebih terarah kepada pendekatan kelab selatan tanah air mencipta rekod 100 gol semusim.

Lima gol diledakkan ketika berdepan anak buah Yusri Che Lah menyaksikan anak buah Solari telah mencetak 79 gol - kurang 26 gol lagi bagi mencecah 100 jaringan musim ini.

Sebagai rekod, permainan berkualiti JDT juga menyaksikan tekanan diberikan anak buah Solari menyaksikan dari 79 gol itu - tiga gol merupakan jaringan sendiri pemain pasukan lawan.

Dalam masa sama bekas tonggak pertahanan Harimau Malaya itu menegaskan corak permainan menyerang akan menyaksikan bola sentiasa berada dalam penguasaan pasukan.

Tegas Jamal, adalah sesuatu yang mengecewakan apabila pasukan mempraktikkan gaya permainan bertahan bagi mengelakkan dibolosi jaringan gol yang banyak.

“Pada saya buat blok atau parkir bas di kawasan penjaga gol bukan cara yang baik mengurangkan jaringan pasukan lawan seperti JDT.

“Jika tak attack sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada bertahan sahaja itu menjurus kepada kelekaan dalam menjaga pemain lawan akhirnya akan bolos juga lawan mengasak bertali arus.

“Malah corak permainan defensif menyebabkan para pemain mengalami keletihan lebih awal, letih kejar bola bukan letih disebabkan pegang bola. Jika ada coach yang kata sekira fokus attack, pasukan akan bolos banyak gol, itu saya tak tau nak cakap apalah.

“Paling penting kena berfikiran positif, bermain dalam satu pasukan dan attacking play, insya-ALLAH andai setiap pasukan ada idea sedemikian saya percaya para pemain JDT pun kelam kabut.

“They not are so good, just we don’t have such ideas,” katanya yang percaya jumlah jaringan Harimau Selatan dapat dikurangkan sekiranya pesaing tampil dengan mentaliti menang.

Pada masa sama Jamal menegaskan peranan pengendali pasukan juga penting dalam memastikan para pemainnya mampu memberi saingan kepada kuasa bola sepak tanah air tersebut.

“Peranan ketua jurulatih juga penting kerana sekiranya awal-awal lagi mentaliti meletakkan 40 hingga 50 peratus tewas apabila berdepan JDT, pemikiran ini sebenarnya tidak baik.

“Aspek paling penting perlu ditekankan adalah memastikan mental dan fizikal para pemain berada pada kecergasan terbaik,” katanya.