RMK12: Projek pembangunan di Kelantan alami kelewatan

Projek pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang dijangka siap pada tahun 2025.
Projek pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang dijangka siap pada tahun 2025.
A
A
A

KOTA BHARU - Projek pembangunan di Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mengalami kelewatan apabila hanya mencapai 14 peratus pelaksanaan dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM334 juta setakat Mac lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peratus pembangunan itu masih rendah kerana projek yang dirancang mengalami sedikit kelewatan berbanding sasaran awal yang sepatutnya telah mencapai 25 peratus.

Beliau berkata, antara isu yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan tersebut adalah kekurangan tenaga kerja, isu penyelarasan di peringkat agensi kerajaan dan masalah tapak projek yang rumit.

"Bagi pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), terdapat empat seksyen berada pada peringkat pembinaan.

"Bagaimanapun, tiga seksyen pula mengalami sedikit kelewatan iaitu bagi pakej 2C di Bukit Sejuk ke Gua Musang, pakej 3B dan 3C membabitkan bulatan Gua Musang dan pakej 3D di Bulatan Gua Musang ke Mentara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat status projek pembangunan Rancangan Malaysia RMK12 di Bilik Gerakan Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, bagi pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK) membabitkan tujuh pakej dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM2.7 bilion telah diluluskan dan ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

"Sehingga Mac lalu, dua pakej telah siap sepenuhnya manakala lima pakej lagi masih dalam peringkat pembinaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, pihaknya telah meluluskan peruntukan tambahan membabitkan nilai RM200 juta menerusi projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara umumnya projek berkenaan berjalan dengan baik dan dijangka siap pada Julai depan, namun terdapat beberapa isu termasuk permohonan tambahan untuk menyelesaikan masalah banjir khususnya di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Gual Periok dan DUN Meranti.

"Menerusi projek ini pada awalnya kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM465 juta, namun terdapat peruntukan tambahan daripada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah banjir di dua DUN berkenaan dan kami meluluskan sebanyak RM200 juta menjadikan nilai keseluruhan RM665 juta," katanya. - Bernama