KKM pertimbang cuti raya secara berjadual: Khairy

Khairy Jamaluddin (tengah) meninjau sebuah wad yang bakal diubahsuai semasa melakukan lawatan kerja di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pada Sabtu. Foto Bernama
Khairy Jamaluddin (tengah) meninjau sebuah wad yang bakal diubahsuai semasa melakukan lawatan kerja di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan kaedah cuti secara berjadual bagi membolehkan warganya mendapat cuti sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya akan berbincang mengenai perkara itu sebelum memaklumkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) kementerian untuk tindakan lanjut.

"Dua tahun lepas kita tak bagi atau jarang bagi cuti sebab pandemik, tapi tahun ini keadaan dah mula reda, mungkin kita akan mula bagi cuti raya, tapi (cuti) akan dibuat secara berjadual," katanya kepada pemberita semasa melawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, setelah selesai perbincangan, kaedah percutian secara berjadual berkenaan akan dimaklumkan kepada warga KKM.

Ditanya berapa peratus kakitangan yang akan diberi kelulusan bercuti, Khairy berkata perkara itu bergantung kepada kes dan kapasiti hospital.

"Kami akan cuba bagi (benarkan kakitangan bercuti) sebanyak mungkin... Tapi saya tak boleh nak umum sekarang (peratus), kena tengok lebih dekat lagi dengan tarikh hari raya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: