31 pemain B-23 dipanggil sertai kem latihan pusat

Senarai 31 pemain ke kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan menjelang Sukan SEA 2021 di Vietnam. - Sumber Facebook FAM
Senarai 31 pemain ke kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan menjelang Sukan SEA 2021 di Vietnam. - Sumber Facebook FAM
A
A
A

SERAMAI 31 pemain dipanggil oleh ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Brad Maloney bagi menyertai kem latihan pusat mulai 19 April sebagai persiapan menjelang Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam yang dijadualkan berlangsung mulai 6 hingga 22 Mei.

Senarai berkenaan menyaksikan Maloney memanggil seramai 19 pemain daripada 23 pemain yang beraksi pada saingan kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbbatar Mongolia, Oktober lalu.

Turut tersenarai, dua pemain daripada skuad yang beraksi pada Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari 2022 iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili yang beraksi dengan skuad Projek FAM-MSN dan A Selvan (Negeri Sembilan FC).

Turut dipanggil kali ini tiga pemain Selangor FC - Danial Asri, Syahir Bashah dan Aliff Haiqal; dua pemain Johor Darul Ta’zim II - Daryl Sham dan Ahmad Aysar Hadi; penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim; dua pemain Terengganu FC II, Muslihuddin ‘Atiq dan Safwan Mazlan; pemain Kuala Lumpur City FC, Haqimi Azim Rosli serta pemain kelab Jepun, Azul Claro iaitu Hadi Fayyadh.

Skuad B-23 kebangsaan akan menjalani latihan harian di sepanjang kem latihan pusat kali ini di UM Arena, Kuala Lumpur dengan 31 pemain yang dipanggil ini akan melapor diri secara berperingkat selepas masing-masing selesai komitmen perlawanan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super 2022 dan Liga Premier 2022.

Mereka dijadual akan mengadakan dua Perlawanan Antarabangsa Tier 2 bertemu Timor-Leste B-23 pada 29 April 2022 dan Filipina B-23 pada 1 Mei 2022, dengan kedua-dua perlawanan ini akan berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran penonton berdasarkan persetujuan daripada pasukan yang terlibat.

Maloney kemudian akan menamakan senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA 2021 yang mana skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas dari KLIA, Sepang ke Hanoi, Vietnam pada 4 Mei 2022.

Mengikut peraturan penganjur, seramai 20 pemain sahaja boleh dibawa dan pemain tambahan hanya dibenarkan menyertai pasukan jika terdapat mana-mana pemain disahkan positif Covid-19 untuk menggantikan pemain tersebut.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Kemboja, Singapura dan Laos bagi kejohanan dwi tahunan berkenaan.

Mengikut jadual, Malaysia akan memulakan kempen berdepan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) dengan kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.

Sementara saingan Kumpulan A yang dibarisi tuan rumah yang juga juara bertahan, Vietnam, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor-Leste pula dijadual berlangsung di Stadium Viet Tri, Phu Tho.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan seterusnya akan layak ke separuh akhir pada 19 Mei di Stadium Thien Truong dan Stadium Viet Tri manakala perlawanan penentuan pingat gangsa serta aksi final (emas dan perak) dijadualkan berlangsung pada 22 Mei 2022 di Stadium My Dinh, Hanoi.