Kuota pengeluaran bekalan makanan asas ditambah menjelang Aidilfitri

MAFI akan menambah kuota pengeluaran bekalan makanan asas terutama membabitkan ayam dan daging pada Aidilfitri bulan depan. - Gambar hiasan
MAFI akan menambah kuota pengeluaran bekalan makanan asas terutama membabitkan ayam dan daging pada Aidilfitri bulan depan. - Gambar hiasan
A
A
A

PASIR PUTEH - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan menambah kuota pengeluaran bekalan makanan asas sebanyak 30 peratus terutama membabitkan ayam dan daging pada musim perayaan Aidilfitri bulan depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya telah diberi jaminan oleh sektor industri terbabit bahawa bekalan makanan asas pada musim tersebut mencukupi.

"Rakyat tidak perlu gusar dengan bekalan makanan asas kerana kerajaan sentiasa memantau dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia Parlimen Pasir Puteh di sini hari ini.

Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata semua pihak perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan keperluan asas tersebut tidak disorok atau diseludup oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita mahu pemborong dan peruncit tidak menyorokkan keperluan bekalan asas ini atau mengurangkan jualan mereka serta menyeludup ke sempadan negara jiran untuk mendapat keuntungan lebih.

"Jika didapati ada dalam kalangan mereka terlibat melakukan kesalahan ini, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira status," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus mengadakan sesi libat urus dengan MAFI bagi memastikan isu kenaikan harga ayam tidak berlarutan sehingga menjelang hari raya. - Bernama

Artikel Berkaitan: