Peniaga degil dikenakan 13 kompaun

Dr Mohd Ridzuan (tengah) memeriksa tahap kebersihan peniaga dan premis di Bazar Ramadan Kampung Tengah, Sungai Abong, Muar pada Jumaat
Dr Mohd Ridzuan (tengah) memeriksa tahap kebersihan peniaga dan premis di Bazar Ramadan Kampung Tengah, Sungai Abong, Muar pada Jumaat
A
A
A

MUAR - Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar mengeluarkan 13 kompaun terhadap peniaga yang tidak mematuhi peraturan kebersihan di 11 bazar Ramadan sekitar daerah ini pada Jumaat.

Pegawai Epidemiologi PKD Muar, Dr Mohd Ridzuan Mohd Lutpi berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 iaitu 12 kompaun di bawah Peraturan 32 manakala satu lagi Peraturan 33.

"Sebanyak 12 kompaun tersebut kerana pengendali makanan atas kesalahan pakaian dan mereka dikenakan bernilai RM100 setiap satu.

"Kesalahan peniaga di bazar Ramadan terbabit antaranya tidak memakai apron dan kasut bertutup," katanya ketika ditemui dalam operasi PKD bersama Majlis Perbandaran Muar (MPM) di tapak Bazar Ramadan Kampung Tengah, Sungai Abong pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, bagi kesalahan di bawah Peraturan 33, kompaun RM150 dikenakan kerana pengendali makanan gagal menjaga kebersihan.

Beliau berkata, kesemua kompaun yang dikeluarkan merupakan hasil pemeriksaan kali kedua di 11 lokasi berkenaan apabila mendapati ada segelintir daripada mereka masih berdegil selepas diberikan amaran pada pemeriksaan kali pertama sebelum ini.

"Tindakan tegas ini terpaksa diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai ketika membeli juadah terjamin.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya kebersihan pakaian dan pengendalian makanan tidak dijaga, pencemaran boleh berlaku sekali gus berisiko menyebabkan keracunan makanan," katanya sambil memberitahu setakat ini tiada kes keracunan makanan melibatkan bazar Ramadan.

Dalam operasi berkenaan, pihaknya turut mengedarkan bahan pendidikan kesihatan kepada peniaga.