MIC yakin Ismail Sabri mampu teruskan kestabilan politik

Saravanan (tengah) menyaksikan penyerahan Zakat Wakalah PTPK di Dewan Merdeka Tapah pada Jumaat.
Saravanan (tengah) menyaksikan penyerahan Zakat Wakalah PTPK di Dewan Merdeka Tapah pada Jumaat.
A
A
A

TAPAH - Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diyakini mampu meneruskan kestabilan politik di negara ini.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, pentadbiran Ismail Sabri ketika ini disenangi semua pihak termasuk pembangkang dan MIC amat mengalu-alukan pengumuman dibuat UMNO itu.

"Kejayaan negara kita bergantung kepada kestabilan politik dan hari ini kita lihat seorang pemimpin walaupun dicadangkan oleh UMNO sebagai Perdana Menteri tetapi diterima oleh semua lapisan masyarakat. Saya lihat parti-parti lain juga terima dia sebagai calon Perdana Menteri.

"Saya percaya ini akan membawa negara kita sehingga ke tahap yang lebih tinggi dengan kestabilan politik berterusan," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Serahan Zakat Wakalah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di Dewan Merdeka Tapah, di sini pada Jumaat.

UMNO pada Khamis sebulat suara bersetuju agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15 nanti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat MKT yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di pejabat UMNO.

MCA melalui presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut menyokong setiap ketetapan diputuskan dalam mesyuarat MT itu termasuk cadangan mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15.

Pas pada Jumaat turut menyatakan sokongan penuh parti itu kepada kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan melalui kenyataan berkata, parti itu berharap agenda perpaduan yang dipelopori Ismail Sabri dapat diteruskan selepas membuktikan berjaya mewujudkan kestabilan serta politik yang baik di negara ini.