Sila log masuk terlebih dahulu.

Pemimpin UMNO, komponen BN sokong Ismail Sabri calon PM PRU15

Gambar dari kiri: Mahdzir Khalid, Wee Ka Siong
Gambar dari kiri: Mahdzir Khalid, Wee Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan UMNO untuk mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diterima baik para pemimpin UMNO serta pemimpin utama parti komponen Barisan Nasional (BN).

Antara menyokong ketetapan itu ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid sambil menyifatkan ia bukti parti berkenaan bergerak sebagai sebuah pasukan berhubung perkara utama.

Beliau berkata, UMNO berterima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana telah memberi sokongan dan membawa perkara itu kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk disokong sebulat suara.

"MT secara konsensus dan sebulat suara setuju untuk sokong kenyataan bahawa Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.

"Ini membuktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa UMNO dalam satu pasukan dan perkara utama kepada semua individu dalam UMNO ini adalah melihat kepada keutamaan parti itu sendiri,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.

Terdahulu, berlangsung mesyuarat MT parti secara tertutup antara lain membuat ketetapan bahawa Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15.

Mesyuarat juga mahu pembentangan Akta Anti Lompat Parti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkannya.

Ahli MT UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata keputusan itu adalah yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Kalau keputusan dan tujuannya baik serta beri ruang dan peluang kepada Ismail Sabri untuk terus jadi PM selepas pilihan raya akan datang, maka terbaiklah,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata beliau menyokong setiap ketetapan diputuskan dalam mesyuarat MT itu termasuk cadangan mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15.

"Melihat kepimpinan Ismail Sabri ini satu kepimpinan yang menyerlah dan sebab itulah asas keputusan dibuat adalah berdasarkan faktor ini. Saya memang menyokong kerana melihat politik dan kerajaan dapat kita perkukuhkan.

"Saya yakin apa yang lebih penting adalah mengembalikan kegemilangan Barisan Nasional (BN) seperti sedia kala. Jadi saya rasa ini keputusan yang diterima baik dan akan memberi hala tuju jelas dan menunjukkan kesungguhan UMNO dan BN untuk kita menawan semula (kerajaan) dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya. - Bernama