Kerajaan digesa tangani isu kenaikan harga bahan binaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) meminta campur tangan kerajaan dengan segera untuk membantu industri pembinaan Malaysia menangani impak daripada kenaikan harga bahan binaan secara mendadak.

Katanya, bantuan daripada kerajaan akan mendorong kontraktor menyiapkan projek tepat pada masanya dan mengelak projek ditamatkan atau terbengkalai.

MBAM berkata, beberapa kontraktor telah mempertimbangkan untuk berhenti membida projek yang ditawarkan oleh pihak berkuasa tempatan berikutan kontrak tersebut memindahkan terlalu banyak risiko kepada kontraktor yang telah mengalami kelewatan dari segi harga yang ditender dan harga semasa sebenar.

"Perbezaan antara harga sebenar yang ditender dan harga semasa sebenar ini perlu diperbetulkan. Ia tidak tepat dan tidak mencerminkan ketidaktentuan pasaran dengan baik.

"Kenaikan harga bahan meningkat secara mendadak berikutan pandemik dan peningkatan kos bahan dan tenaga memberi impak negatif kepada kontraktor yang mengendalikan projek kerajaan dan swasta," kata MBAM dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, MBAM mencadangkan pengeluar dan pembekal perlu ‘mengunci harga’ untuk semua pesanan yang dibuat, jika tidak, ia akan mengatasi tujuan ‘mengunci harga’ untuk projek manakala pesanan baharu tambahan atau bekalan baharu perlu dirundingkan pada harga tersebut.

"Kami turut berharap pengeluar bahan binaan dapat memberikan pecahan terperinci kos bahan mentah, kos tenaga seperti menambat harga bahan binaan dengan harga antarabangsa dan membolehkannya naik dan turun dengan sewajarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

MBAM juga merayu kepada kerajaan untuk mengecualikan sementara duti import bahan mentah dan memberikan subsidi atau geran kepada pengeluar bagi mengurangkan kenaikan kos pengeluaran dan meminta kerajaan memberi subsidi untuk kenaikan kos bahan mentah supaya harga stabil.

Persatuan turut menggesa semakan semula perubahan harga (VOP) kadar untuk projek kontrak kerajaan, sambil menambah bahawa VOP perlu dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022 dan seterusnya, jika perlu.

MBAM juga mencadangkan kenaikan harga perlu secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga enam bulan berbanding kenaikan yang tinggi secara mendadak.

"Ini bukan sahaja akan menghalang turun naik harga yang melampau tetapi turut membantu kontraktor mengurangkan aliran tunai dan kerugian mereka," katanya. - Bernama