Individu mengaku buat rakaman suara tular kepada ‘Datin’

Laporan Sinar Harian pada 12 April lalu.
Laporan Sinar Harian pada 12 April lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang disyaki membuat tuduhan tidak berasas terhadap Kementerian Luar Negeri melalui satu rakaman suara yang tular baru-baru ini telah dapat dikenal pasti.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, susulan itu, individu tersebut telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan penelitian bukti dan keterangan beberapa saksi, Jawatankuasa Siasatan Dalaman Kementerian Luar Negeri telah mengenal pasti individu yang disyaki membuat rakaman yang mengandungi tuduhan yang tidak berasas berhubung kementerian terbabit.

“Individu tersebut telah dipanggil untuk membantu siasatan dan beliau telah membuat pengakuan sepenuhnya bahawa rakaman suara tersebut dibuat oleh beliau sendiri.

“Individu yang bergelar ‘Datin’ tersebut pula merupakan seorang pegawai kepada bekas Menteri Luar Negeri sebelum pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ataupun Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Jelas kenyataan itu, laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Dalaman Kementerian Luar Negeri akan diserahkan kepada Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Memandangkan laporan polis berhubung perkara yang tular ini telah dibuat 11 April 2022 yang lalu dan ia turut melibatkan individu di luar Kementerian Luar Negeri, maka Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Dalaman Kementerian Luar Negeri akan diserahkan kepada PDRM untuk siasatan dan tindakan sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, tular audio durasi 135 saat di media sosial berkenaan mesej seorang lelaki kepada 'Datin' yang dipercayai menyatakan permasalahan dalaman kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

Isu melibatkan Kementerian Luar memuncak selepas dua diplomatnya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipanggil balik.