LIMA'19: 90 peratus pesawat, helikopter sudah tiba

No Image Caption
A
A
A

LANGKAWI - Pasukan aerobatik, Russian Knights dari Tentera Udara Rusia dijangka tiba hari ini seterusnya melengkapkan jumlah pesawat dan helikopter yang terlibat dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19).

Pengurus Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) Langkawi, Jefry Ramli berkata, kira-kira 90 peratus pesawat dan helikopter yang terlibat sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) sebelum majlis perasmian, Selasa ini.

“Penganjur memaklumkan kira-kira 90 peratus pesawat dan helikopter terlibat sudah sampai. Cuma Russian Knights yang belum tiba namun dijangka sampai di LIA petang ini,” katanya ketika ditemui di LIA di sini hari ini.

LIMA' 19 yang berlangsung dari 26-30 Mac akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Mengulas mengenai operasi LIA sepanjang acara dwitahunan itu, Jefry berkata, pihaknya menjangka jumlah penumpang akan bertambah dalam tempoh sembilan hari (24 Mac-1 April) namun sudah bersedia untuk mengendalikannya.

Jefry berkata, setiap hari lapangan terbang tersebut mengendalikan 38 penerbangan pelepasan dan ketibaan dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 42 sehari sepanjang LIMA'19.

"Pada hari biasa, LIA mengendalikan kira-kira 7,000 penumpang setiap hari dan sempena LIMA'19 jumlah itu dijangka bertambah hingga 10,000 penumpang. Bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang, 30 kakitangan tambahan dari lapangan terbang lain dibawa untuk membantu operasi di sini.

"Ada beberapa syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB) juga telah membawa penumpang dengan menggunakan kapal terbang lebih besar berbanding sebelum ini bagi menampung jumlah pelancong yang masuk ke Langkawi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jefry turut menasihatkan penumpang supaya menyemak jadual perjalanan mereka bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang dijangka berlaku.

"Kelewatan penerbangan dijangka berlaku berikutan penutupan ruang udara mengikut tempoh tertentu, namun syarikat penerbangan sudah menjadualkan semula penerbangan mereka. Nasihat kepada penumpang supaya datang awal ke lapangan terbang untuk mengelak kesesakan jalan raya," katanya.

Sementara itu, tinjuan di LIA mendapati pesawat-pesawat terlibat giat menjalani latihan penerbangan bagi pertunjukan udara sejak pagi tadi.

Antara pesawat yang dilihat melakukan latihan ialah pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM dan F/A-18D Hornet serta pesawat pengangkut Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pasukan aerobatik Jupiter One Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU), pesawat pejuang ringan (LCA) buatan Rusia, Yakovlev Yak-130 dan pesawat Tejas milik Tentera Udara India. - Bernama