Bot karam: Lima lemas, dua hilang, 14 selamat

Lima individu ditemukan lemas apabila sebuah bom pam membawa 20 penumpang karam di Pulau Tandoan, Timbun Mata lewat malam Jumaat. - Gambar hiasan
Lima individu ditemukan lemas apabila sebuah bom pam membawa 20 penumpang karam di Pulau Tandoan, Timbun Mata lewat malam Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

SEMPORNA - [DIKEMAS KINI] Tiga kanak-kanak antara lima individu yang dilaporkan lemas dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Timbun Mata di sini pada Khamis.

Dalam kejadian itu, dua lagi mangsa belum ditemui iaitu Noranis, 14, dan Aiman, 6, kedua-duanya dari Kampung Sungai Nakit dekat sini manakala 14 lagi berjaya diselamatkan penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 8.40 malam.

Katanya, dimaklumkan sebuah bot yang dinaiki seramai 21 penumpang tempatan dalam perjalanan dari Kampung Bakung-Bakung menuju ke Kampung Tandoaan yang terletak di Pulau Timbun Mata telah karam berhampiran perairan kampung berkenaan.

"Ekoran kejadian itu, seramai 14 mangsa berjaya diselamatkan penduduk kampung iaitu berusia antara satu hingga 65 tahun manakala dua lagi hilang melibatkan kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara tujuh hingga 14 tahun.

"Lima lagi mangsa meninggal dunia terdiri daripada dua dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia antara dua hingga 40 tahun.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Mohd Farhan Lee berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

"Pihak polis juga telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 304 A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih hilang sedang dilakukan," katanya.

Mohd Farhan memaklumkan, pasukan penyelamat yang terlibat terdiri daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Taman-Taman Sabah (TTS) serta bantuan daripada penduduk kampung berkenaan.

"Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh juga disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Khadijah di talian 019-8718002 atau mana-mana balai polis atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) yang berhampiran," katanya.

Beliau dalam pada itu turut memberi nasihat kepada pengusaha bot penumpang dan penduduk setempat agar sentiasa menjaga keselamatan dengan mematuhi jumlah muatan penumpang yang dibenarkan selain sentiasa memakai jaket keselamatan ketika berada di laut.