Makkal Sakti minta 3 kerusi Parlimen, 5 DUN

Saravana Kumar
Saravana Kumar
A
A
A

NILAI - Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) meminta Barisan Nasional(BN) memperuntukkan tiga kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presidennya, Datuk V Saravana Kumar berkata, sudah tiba masanya Makkal Sakti diberi peluang atas kesetiaan selama 14 tahun menyokong BN.

"Dalam banyak-banyak parti komponen BN, sekarang ini hanya tinggal UMNO, MCA, MIC dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Jadi apalah salahnya bagi kami peluang, dah banyak kali kami minta.

"Kami dah menghantar surat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bulan lalu berkenaan hasrat ini selepas beliau sendiri membuat pengumuman di Perhimpunan Agong UMNO tempoh hari," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Saravana beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis berbuka puasa anjuran Makkal Sakti Negeri Sembilan di Nilai pada Khamis.
Saravana beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis berbuka puasa anjuran Makkal Sakti Negeri Sembilan di Nilai pada Khamis.

Menurutnya, terpulang kepada kepimpinan BN untuk memberi kerusi kawasan mana tetapi mengharapkan salah satu daripadanya ialah DUN Nilai.

Ini kerana katanya, beliau sendiri mahu menawarkan diri untuk bertanding di kawasan itu.

"Di Negeri Sembilan saya berharap sekurang-kurangnya kami diberi satu kerusi iaitu DUN Nilai.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun kita sudah lama bekerja di DUN Nilai. Jadi, berilah peluang kepada saya pula," katanya yang juga merupakan Pengerusi Makkal Sakti Negeri Sembilan.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan perlu menyegerakan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bagi menjamin kestabilan politik negara memandangkan budaya lompat parti yang semakin menjadi-jadi selepas PRU14.