Iftar Ala Madinah @Karangkraf eratkan ukhuwah antara kaum

Gambar dari kiri: Tai Zee How, Lim Chee Wei
Gambar dari kiri: Tai Zee How, Lim Chee Wei
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis berbuka puasa lazimnya dihadiri oleh umat Islam kerana ia merupakan keraian bagi golongan itu setelah seharian berpuasa.

Bagaimanapun, berbeza dengan Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang turut menjemput dan memberi peluang kepada golongan bukan Islam untuk bersama-sama menjamu selera dan merasai kemeriahan majlis berkenaan.

Seorang peguam, Tai Zee How berkata, peluang berbuka puasa bersama umat Islam memberi gambaran lebih dekat bagaimana amalan berpuasa orang Islam sekali gus menunjukkan sifat keramahan agama itu.

"Saya teruja sertai majlis iftar ini kerana susunannya yang teratur dan kemas selain makanan yang dihidangkan sedap dan lazat.

"Kita boleh lihat majlis ini bukan sahaja orang Islam yang sertai, malah ada juga penganut agama lain, menunjukkan keharmonian antara kaum di negara ini masih utuh," katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Ala Madinah @Karangkraf, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Zee How mengakui akan sertai majlis tersebut pada masa akan datang sebagai tanda sokongan selain menyemai ikatan ukhuwah tidak kira latar belakang individu.

Sementara itu bagi Lim Chee Wei, Ramadan merupakan bulan yang unik kerana rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat pemurah akan sentiasa menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

"Bagi saya majlis sebegini boleh menjadi perantara sangat baik bagi menjalin hubungan kejiranan dan kasih sayang tanpa mengira agama selain memberi gambaran sebenar terhadap sifat keramahan Islam.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang pihak Karangkraf lakukan sepanjang Ramadan seharusnya dipuji dan menunjukkan simbolik semangat pemberian menerusi majlis iftar, selain memecah tembok agama dan bangsa dengan meraikan sambutan agama masing-masing," katanya.

Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai suasana berbuka puasa seperti berada di Masjid Nabawi.

Program di bawah naungan Sinar Harian bersama Karya Bestari dan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu akan berlangsung sehingga 29 April ini di Dataran Karangkraf, Shah Alam.

Orang ramai yang berminat untuk turut serta dalam program berbuka puasa ala Madinah ini perlu membuat pengesahan kehadiran jam 10 pagi sehari sebelumnya dengan menghubungi sekretariat di talian 019-213 3315.