Gerai nasi lemak mahal kena kompaun

Pemeriksaan dijalankan oleh penguatkuasa PPDNHEP WPKL terhadap gerai nasi lemak yang tular kerana mengenakan caj tidak masuk akal kepada pelanggan. - Foto FB KPDNKK-WPKL
Pemeriksaan dijalankan oleh penguatkuasa PPDNHEP WPKL terhadap gerai nasi lemak yang tular kerana mengenakan caj tidak masuk akal kepada pelanggan. - Foto FB KPDNKK-WPKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah gerai nasi lemak di sini dikenakan tindakan kompaun oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPDNHEP WPKL) kerana gagal mempamerkan tanda harga.

Tindakan itu susulan tular di media sosial hasil perkongsian seorang individu yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan ketika menikmati hidangan nasi lemak berlauk di situ yang didakwa terlalu mahal.

PPDNHEP WPKL dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini memaklumkan peniaga gerai berkenaan telah dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga pada kesemua makanan dan minuman yang dijual.

Menurut kenyataan itu, peniaga berkenaan juga diberikan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk memberikan maklum balas berkaitan kos dan harga jualan.

“Sekiranya didapati mencatut boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan penalti dikenakan terdiri daripada dua kategori iaitu jika suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM500,000 dan, bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta ringgit.

Manakala jika bukan pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan, bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu perkongsian individu berkenaan mendakwa dia bersama rakan dikenakan caj RM100 untuk 20 bungkus nasi lemak, tujuh cawan teh o ais dan tiga jenis lauk.

Artikel Berkaitan: