MAFI jamin sosioekonomi nelayan, perikanan terbela

Ronald ketika berucap pada Majlis Pelancaran Duit Syiling Peringatan 50 Tahun LKIM.
Ronald ketika berucap pada Majlis Pelancaran Duit Syiling Peringatan 50 Tahun LKIM.
A
A
A

CYBERJAYA - Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memastikan sosioekonomi golongan nelayan serta industri perikanan negara terus berdaya maju dan terbela.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, dalam masa sama MAFI akan memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan negara turut terjamin.

“Kementerian menerusi agensinya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa memainkan peranan penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan.

“Ia turut melibatkan memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan bagi memastikan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Duit Syiling Peringatan 50 Tahun LKIM, di sini pada Khamis.

Ronald (tengah) menunjukkan Duit Syiling Peringatan 50 Tahun LKIM.
Ronald (tengah) menunjukkan Duit Syiling Peringatan 50 Tahun LKIM.

Duit Syiling 50 Tahun LKIM direka bentuk dan diterbitkan secara eksklusif oleh Bank Negara Malaysia (BNM) khusus untuk LKIM sempena sambutan jubli emas agensi itu pada 1 November 2021.

Konsep utama syiling itu adalah daripada gabungan warna dan kesan khas tiga dimensi dan menekankan kepada warna biru sebagai gambaran laut sebagai lubuk peluang iaitu tempat menjadi sumber rezeki para nelayan.

Artikel Berkaitan:

Pada syiling tersebut terdapat juga ukiran seorang nelayan sedang menarik pukat yang sarat dengan ikan segar, mencerminkan kehebatan tahap kemahiran dan pengalamannya.

Selain mengetengahkan elemen-elemen utama yang berkait rapat dengan industri perikanan, syiling berkenaan turut mempunyai ukiran khas ‘50 Tahun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia’.

Dalam pada itu Ronald menyifatkan pelancaran Duit Syiling Peringatan 50 Tahun LKIM sebagai manifestasi pencapaian serta kejayaan lima dekad penubuhan agensi itu.

Katanya, penubuhan LKIM berteraskan sifat dedikasi, kerja kuat dan kesungguhan kerjasama nelayan dan lembaga berkenaan bagi memastikan pembangunan industri perikanan bergerak senada dan efisien.

“Kerajaan melalui LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta terus memperbaiki sosioekonomi dan mengurangkan beban nelayan,” katanya.