'Saya langsung tak takut untuk debat dengan Anwar' - Najib

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa beliau langsung tidak takut untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu Sapura Energy Bhd (SEB).

Menurutnya, Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah bersetuju untuk mengadakan debat tersebut selepas Aidilfitri.

Sehubungan itu Najib menafikan tuduhan beliau yang mencabar debat tersebut diadakan pada Ramadan.

"1 April 2022 Rafizi cabar Najib debat dan 2 April Najib sahut cabaran debat tapi ajak Anwar bersama. Pada 3 April iaitu hari pertama Ramadan, Anwar bersetuju debat dan 6 April, Anwar kata waktu sesuai sedang diatur dengan Najib.

“Lalu, geng PKR dan Anwar pula tuduh saya yang cabar debat bulan Ramadan, padahal yang mula cabar ialah geng kamu Rafizi. Geng kamu Fahmi juga yang kata masa paling sesuai debat ialah selepas Ramadan dari segi pengaturan masa, slot masa televisyen dan demi menghormati bulan Ramadan.

“Yang cabar, korang. Yang sahut, Najib. Yang bersetuju lepas puasa, korang. Yang tuduh kononnya Najib tak berani, korang juga?. Saya langsung tak takut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Anwar pada Rabu meminta Najib supaya tidak berdolak dalik berkaitan dengan pelaksanaan debat antara kedua pemimpin tersebut mengenai isu kewangan SEB yang juga merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mengulas lanjut, Najib memberikan jaminan beliau akan berdebat dengan Anwar mengenai isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ini jaminan saya dan saya akan tunaikan. Sebab saya bukan puak manifesto bukan kitab suci,” ujarnya.

Sebelum ini Najib merupakan individu terawal yang mencadangkan kerajaan supaya menyelamatkan SEB yang berhadapan dengan krisis kewangan teruk.

Bagaimanapun, idea Najib disanggah Rafizi yang berpandangan masalah tersebut boleh diselesaikan pengurusan syarikat itu sendiri seperti pelaksanaan rasionalisasi projek dan portfolio dengan menghentikan sebarang operasi atau projek yang membazir, tidak menguntungkan serta tidak mampu disiapkan.

Media sebelum ini melaporkan SEB yang merupakan syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia merekodkan kerugian sebanyak RM8.9 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022.