Rempit sambil bonceng isteri sarat hamil

Mat rempit yang ditahan dibawa menunaikan solat Maghrib di surau berdekatan Kampung Geliga.
Mat rempit yang ditahan dibawa menunaikan solat Maghrib di surau berdekatan Kampung Geliga.
A
A
A

KEMAMAN – Tanpa memikirkan bahaya, seorang suami yang baharu berusia 15 tahun merempit dengan membonceng isterinya yang sarat mengandung tujuh bulan.

Bagaimanapun perbuatan itu membawa padah apabila remaja lelaki dan isterinya yang sebaya dengannya ditahan bersama 133 lagi penunggang dan pembonceng lain pada Ops Rempit.

Remaja lelaki itu ditahan ketika melakukan aksi rempit bersama mat-mat rempit lain sebelum mereka diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, suami isteri yang ditahan itu didapati tidak memiliki lesen memandu dan memandu dalam keadaan berbahaya.

Katanya, pada operasi khas di Kampung Geliga, Chukai bermula jam 4.30 petang hingga 8.30 malam semalam itu, polis berjaya menahan 105 penunggang motosikal bersama 30 pembonceng.

"Mereka yang ditahan terlebih dahulu dibawa ke surau berdekatan untuk solat Maghrib sebagai pendekatan mendidik secara kerohanian.

"Penahanan ini adalah yang terbesar setakat ini selepas polis menerima aduan berkaitan berlakunya aktiviti rempit berhampiran Kampung Geliga," katanya.

Kesemua penunggang motosikal terbabit kemudian diarah menyorong motosikal mereka hampir lima kilometer melalui Bandar Chukai ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Said berkata, dalam operasi tersebut sebanyak 188 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, memandu secara berbahaya dan mengubahsuai motosikal.

Bagaimanapun menurutnya, kesemua yang ditahan didapati negatif ujian air kencing selepas sesi saringan dilakukan.

Katanya, kesemua mereka akan disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.